comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ramalan harga minyak mentah Brent bagi 2024, 2025 diturunkan – RHB Investment Bank

Harga minyak diramalkan akan pulih daripada paras semasa.-Foto hiasan

KUALA LUMPUR: RHB Investment Bank Bhd menurunkan ramalan harga minyak mentah Brent bagi 2024-2025 kepada AS$82 dan AS$80 satu tong berbanding AS$88 dan AS$83 satu tong sebelum ini selepas prestasi suram harga bahan api pada suku ketiga tahun ini.

Penganalisisnya, Sean Lim berkata, unjuran baharu yang lebih rendah itu dapat mencerminkan sentimen pasaran sekarang yang kurang memberangsangkan ekoran kebimbangan yang semakin meruncing bahawa permintaan minyak mungkin berlarutan lemah, lebih-lebih lagi di China, Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

“Harga minyak diramalkan akan pulih daripada paras semasa, namun kami tidak menolak kemungkinan untuk risiko semakin menjadi buruk sekiranya prospek ekonomi dunia terus gagal mencapai jangkaan yang kami tetapkan.

“Risiko-risiko negatif yang boleh menjejaskan perwajaran sektor minyak dan gas adalah harga serta pemintaan yang semakin rendah, selain perbelanjaan pengguna merosot,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

Lim berkata, bank pelaburan itu bagaimanapun masih mengekalkan saranan pelaburan ‘wajaran tinggi’ terhadap sektor minyak dan gas dengan syarikat pilihan utama termasuk Dialog, Yinson dan Dayang Enterprise.

“Walaupun pasaran sektor minyak dan gas tempatan masih bergelut dengan keadaan berterusan tidak menentu, selain penurunan pada unjuran minyak mentah, saranan buat sektor ini masih dikekalkan berikutan harga minyak yang kembali pulih.

“Kami juga menyukai syarikat dalam bahagian perkhidmatan huluan yang lebih terdedah kepada bahagian berkaitan penyelenggaraan kerana mereka boleh menawarkan perolehan jauh lebih bertahan selain menjalankan perniagaan di pasaran-pasaran luar yang rencam,” katanya.

Mengenai prestasi kewangan PETRONAS, Lim berkata keuntungan selepas cukai yang direkodkan syarikat minyak negara itu pada separuh pertama 2024 susut 19 peratus tahun ke tahun kepada RM32 bilion.

Beliau berkata, hal ini berlaku seiring dengan prestasi pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, dan pelunasan (EBITDA) yang susut sembilan peratus ekoran keuntungan lebih lemah dalam segmen gas, pemisahan daripada anak-anak syarikat dan belanja cukai lebih tinggi.

“Pada separuh pertama 2024, dividen berjumlah RM12 bilion telah dibayar kepada pihak kerajaan. Dengan ini, PETRONAS berada dalam landasan untuk menyelesaikan bayaran sepenuh tahunnya bernilai RM32 bilion.

“Setakat suku kedua 2024, kedudukan tunai bersih syarikat ini bertambah baik sedikit enam peratus suku ke suku kepada RM116 bilion kerana aliran tunai operasinya yang kukuh, yang diimbangi oleh bayaran perbelanjaan modal dan dividen,” katanya.

Lim berkata, perbelanjaan modal PETRONAS pada suku kedua 2024 lebih tinggi apabila mencecah RM15 bilion, lantas menaikkan angka bagi separuh pertama kepada RM25.7 bilion, meningkat 20 peratus berbanding tahun lalu.

“Segmen huluan (58 peratus) muncul sebagai faktor penyumbang terbesar, diikuti oleh segmen gas (17 peratus),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata menurut laporan, PETRONAS dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) terus menjalinkan perkongsian strategik dalam membangunkan hidrokarbon di Sarawak, malah kedua-dua pihak masih berbincang supaya situasi menang sama menang dapat dicapai.

“Oleh demikian, kesan susulan akan bergantung pada keputusan akhir yang akan diputuskan kelak,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini