comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Rakyat Malaysia dapat gaji lumayan di Singapura, Brunei

PUTRAJAYA: Kira-kira 66.7 peratus tenaga kerja Malaysia yang bekerja di Singapura menerima gaji kasar di antara S$1,500 (RM5,330) hingga S$3,599 (RM12,780) sebulan dan 18.5 peratus menerima gaji di antara S$3,600 (RM12,800) hingga S$9,999 (RM35,530) sebulan, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Manakala, bagi yang bekerja di Brunei pula, 41.3 peratus responden yang bekerja menerima gaji kasar bulanan di antara B$1,000 (RM3,550) hingga B$3,000 (RM10,660) dan 43.5 peratus lagi menerima gaji kasar bulanan di antara B$3,001 (RM10,670) hingga B$10,000 sebulan (RM35,550).

Jumlah gaji kasar bulanan tertinggi yang direkodkan di Singapura adalah S$18,000 (RM64,000) dan B$15,000 (RM53,300) di Brunei.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata majoriti daripada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan Brunei adalah dalam kalangan pekerja mahir atau separa mahir.

Beliau berkata, di Singapura didapati 39 peratus diaspora yang bekerja adalah pekerja mahir dan 35 peratus bekerja sebagai pekerja separa mahir.

Manakala, katanya 68 peratus diaspora yang bekerja di Brunei adalah pekerja mahir dan 24.1 peratus bekerja sebagai pekerja separa mahir.

“Analisis juga mendapati bahawa lebih daripada separuh rakyat Malaysia yang bekerja dengan kelulusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) atau setara bekerja sebagai pekerja mahir dan separa mahir di kedua-dua negara ini.

“Manakala, pekerja yang mempunyai kelulusan Sarjana Muda dan bekerja sebagai pekerja mahir di kedua-dua negara ini, majoritinya berumur 25 tahun hingga 34 tahun,” katanya dalam satu kenyataan diterbitkan DOSM, hari ini.

DOSM menjalankan dua kajian iaitu Kajian Diaspora Malaysia di Brunei Darussalam pada tahun 2023 dan Kajian Perlindungan Keselamatan Sosial Rakyat Malaysia Bekerja Di Luar Negara: Singapura pada tahun 2022 dengan kerjasama PERKESO.

Mohd Uzir berkata, kajian ini juga meninjau kecenderungan perancangan kerjaya rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan Brunei, mendapati majoriti daripada mereka merancang untuk meneruskan pekerjaan di kedua-dua negara terbabit.

Beliau berkata, selain itu juga didapati kecenderungan rakyat Malaysia yang bekerja di Brunei untuk berhijrah lebih tinggi berbanding dengan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

“Antara faktor utama kenapa rakyat Malaysia memilih untuk bekerja di Singapura atau di Brunei adalah peluang pekerjaan dan persekitaran kerja yang baik, gaji yang lebih lumayan serta kadar pertukaran mata wang Singapura dan Brunei yang tinggi,” katanya.

Singapura dan Brunei mengikat nilai mata wang yang sama di bawah perjanjian Pertukaran Mata Wang (CIA) 1967.

Mohd Uzir berkata, kerajaan telah menjadikan diaspora sebagai salah satu perkara yang perlu ditangani di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Beliau berkata, berdasarkan dapatan kajian 2022, didapati bahawa 38 peratus diaspora Malaysia yang berada di Singapura adalah golongan pekerja, manakala 62 peratus berada di Singapura atas tujuan lain seperti menjalankan perniagaan, menjalani latihan dan penyelidikan, pendidikan atau berkahwin dengan warga Singapura.

Katanya, dapatan kajian 2023 pula menunjukkan 50 peratus diaspora Malaysia di Brunei merupakan golongan pekerja, manakala selebihnya adalah disebabkan faktor sosial seperti berkahwin dengan warga Brunei, mengikut suami yang bekerja atau atas urusan kekeluargaan.

“Namun begitu terdapat satu dapatan yang signifikan kerana persamaan sebab keberadaan di Singapura atau di Brunei, iaitu rakyat Malaysia berada di sana adalah untuk menjalankan perniagaan,” katanya.

Dapatan kedua-dua kajian diaspora ini juga menunjukkan dominasi diaspora di kalangan kaum Melayu dan Cina berbanding dengan kaum-kaum lain.

Negeri asal yang mendominasi diaspora Malaysia di Singapura adalah Johor, Kedah dan Perak.

Sarawak, Sabah dan Johor pula mendominasi negeri asal diaspora Malaysia di Brunei.

Loading...
Terkini