Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Nestle (M) Bhd melantik Raja Nurmaria Murni Raja Nur Azmi sebagai Pengarah Eksekutif, Hal Ehwal Korporat Kumpulan bagi Malaysia dan Singapura.
Beliau mengambil alih tugas daripada Dato’ Adnan Pawanteh, yang bersara pada akhir November 2024 selepas membina kerjaya yang cemerlang selama 40 tahun bersama Syarikat.
“Beliau menyertai Syarikat pada tahun 2011 sebagai Pengurus Media & Pengiklanan, memantau strategi dan pelaksanaan media bagi semua jenama Nestlé di Malaysia,
“Berbekalkan kepakaran dan pengalamannya yang luas selepas berkhidmat di Nestlé selama lebih sedekad, Murni bersedia untuk menggalas tanggungjawab baharu,” jelas Nestle dalam satu kenyataan.
Tambah kenyataan itu, Murni telah ditugaskan untuk berkhidmat di ibu pejabat Nestlé S.A. di Vevey, Switzerland, sebagai Pengurus Jenama Global bagi Minuman berasaskan Tumbuhan dalam Unit Perniagaan Strategik Produk Tenusu, pada 2021.
“Kebijaksanaan strategik dan pemikiran inovatif beliau memberikan sumbangan besar kepada pembangunan kategori yang baharu muncul itu.
“Baru-baru ini, beliau berkhidmat sebagai Pemimpin Jenama Global bagi MILO & NESCAU yang menerajui strategi global, termasuk inisiatif komunikasi dan inovasi bertumpukan kelestarian.
“Pencapaian dan kewibawaan yang ditunjukkan Murni dalam kepimpinan, pengurusan jenama dan keupayaan menangani pasaran yang kompleks menjadikan beliau calon yang amat sesuai untuk mengetuai Hal Ehwal Korporat Kumpulan.” ujar kenyataan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.