Tumpuan :
Detik Niaga

Radium bakal disenaraikan di pasaran utama, terbit 868 juta saham untuk IPO

KUALA LUMPU: Pemaju hartanah Radium Development Bhd akan menerbitkan 868 juta saham baharu, mewakili 25 peratus daripada modal sahamnya yang diperbesarkan sebagai sebahagian daripada perlaksanaan tawaran awam awal (IPO) syarikat di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

Radium yang dijadualkan untuk penyenaraian pada suku kedua 2023, telah menandatangani perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities Sdn Bhd bersempena dengan pelaksanaan IPO itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata daripada 868 juta saham baharu, 273 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian dan 60 juta saham kepada pengurusan kanan utama, pekerja kumpulan dan rakan perniagaan yang layak  termasuk mereka yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

“Sebanyak 435 juta saham lagi akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan baki 100 juta saham untuk pelabur terpilih melalui penempatan persendirian,” kata Radium dalam satu kenyataan hari ini. .

IPO Radium adalah bersendiri kerana tiada komponen tawaran untuk jualan, dengan semua hasil IPO disalurkan kepada kumpulan.

Hasil IPO sebahagian besarnya akan digunakan untuk pemerolehan bank tanah dan perbelanjaan pembangunan serta pembinaan hotel, sekali gus menunjukkan komitmen Radium untuk mempercepatkan pertumbuhan perniagaannya.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Gary Gan Kah Siong berkata Radium telah membina reputasi yang kukuh untuk menyediakan rumah mampu milik bagi  golongan pekerja di Kuala Lumpur.

Dianggarkan terdapat permintaan asas untuk lebih 300,000 rumah di Kuala Lumpur, kata kenyataan itu.

“Kami kini sedang meneruskan trajektori dengan pelancaran baharu bernilai RM1.5 bilion pada 2023,” katanya sambil menambah Radium telah melancarkan R Suite Chancery Residences bernilai RM521 juta pada awal 2023, terdiri daripada perumahan dan hotel empat bintang.

Projek itu terletak di Jalan Ampang antara Hospital Gleneagles Kuala Lumpur dan Hospital KPJ Ampang Puteri, kedudukan yang sesuai untuk sektor pelancongan perubatan.

“Radium juga merancang untuk melancarkan pembangunan di Salak South/Sg Besi akhir tahun ini yang terdiri daripada kediaman bandar dan rumah mampu milik,” tambahnya. — BERNAMA

Loading...
Terkini