KUALA LUMPUR: Purata harga jualan rumah baharu pada suku pertama tahun ini adalah RM582,887, manakala purata harga jualan rumah terpakai atau ‘subsale’ adalah RM521,614, demikian menurut Juwai IQI.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari, berkata purata harga jualan berkenaan adalah lebih tinggi berbanding purata harga rumah yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) pada 2023 iaitu RM467,144.
“Tidak mengejutkan bahawa Kuala Lumpur mempunyai hartanah paling mahal di negara ini. Purata harga jualan rumah ‘subsale’ di Kuala Lumpur adalah RM801,557. Rumah baharu adalah lebih murah, dengan purata harga RM708,462.
“Pada suku pertama, Melaka adalah negeri paling murah bagi unit rumah baharu. Purata harga sebuah unit rumah baharu di Melaka adalah RM305,463. Selepas Melaka, negeri seterusnya yang kurang mahal untuk membeli sebuah unit rumah baharu adalah Pahang, Perak dan Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kashif berkata, selepas Kuala Lumpur, tiga negeri paling mahal untuk membeli rumah ‘subsale’ pula adalah Sarawak, Sabah, and Johor.
Katanya, tiga negeri paling mahal untuk membeli rumah baharu pula adalah Johor, Sabah dan Kedah.
“Terengganu adalah negeri paling murah untuk membeli rumah ‘subsale’, dengan purata harga RM293,714. Selepas Terengganu, negeri paling murah untuk membeli rumah ‘subsale’ adalah Perak, Kedah dan Pahang,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan pembelian rumah walau bagaimanapun adalah dalam lingkungan harga lebih rendah, dengan lebih separuh pembeli rumah baharu membayar RM500,000 atau kurang pada suku pertama dan hanya suku daripada pembeli membayar lebih RM750,000 bagi rumah baharu mereka.
Katanya, pasaran ‘subsale’ menyaksikan nisbah yang serupa, dengan hampir separuh pembeli membelanjakan RM500,000 atau kurang daripada jumlah itu.
“Satu berita baik bahawa pembeli rumah mampu milik dapat mencari rumah yang menarik untuk dibeli. Ini bermakna, pasaran membekalkan banyak rumah bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah.”Pasaran adalah amat seimbang, dengan bekalan mencukupi bagi menampung semua pembeli pada setiap peringkat harga,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.