Tumpuan :
Detik Niaga

PTPTN pertimbang henti beri pinjaman kepada kursus dengan rekod bayaran balik rendah

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang mempertimbangkan untuk menghentikan pembiayaan kepada kursus universiti yang merekodkan kadar bayaran balik yang rendah.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, berkata ia sebahagian usaha dengan universiti tempatan untuk menggalakkan bayaran balik dalam kalangan peminjam.

“Jadi untuk kursus dengan kadar bayaran balik kurang 30 peratus itu, mungkin kami akan menghentikan pembiayaan untuk kursus itu bagi universiti tertentu.

“Untuk (manfaat) semua orang, universiti juga perlu membantu mewujudkan tabiat yang baik untuk memupuk tingkah laku pembayaran dalam kalangan pelajar,” katanya dalam Webinar KRI – Kepentingan Individu vs Kolektif: Dilema Pinjaman Pendidikan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pembiayaan akan diteruskan bagi kursus dengan kadar bayaran balik yang tinggi.

Usaha ini juga dapat menerapkan budaya pengurusan kewangan yang baik selepas graduasi, selain tumpuan untuk melunaskan hutang PTPTN.

Sehingga September, PTPTN telah mengeluarkan pinjaman berjumlah RM74 bilion.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini