Tumpuan :
Detik Niaga

Prospek inflasi bergantung kemungkinan pelarasan subsidi bahan api

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana pada tahun ini, berpurata antara dua peratus dan 3.5 peratus, sebahagian besarnya mencerminkan potensi kenaikan yang disebabkan oleh rasionalisasi subsidi dalam negara.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023, inflasi teras dijangka berpurata antara dua peratus dan tiga peratus pada tahun ini.

“Prospek inflasi kekal amat bergantung kepada risiko peningkatan disebabkan oleh faktor dasar dalam negeri dan pengaruh luaran.

“Dalam negeri, potensi pelarasan harga barangan keperluan akan mendorong kenaikan harga barangan yang terbabit, terutamanya barangan yang berkaitan dengan tenaga dan makanan,” menurut BNM.

Yang ketara, bank pusat itu berkata prospek inflasi bergantung kepada kemungkinan pelarasan terhadap subsidi bahan api secara menyeluruh.

“Berikutan bahagian bahan api yang besar dalam kumpulan Indeks Harga Pengguna (IHP), pelarasan harga bahan api akan secara langsung menyebabkan kenaikan inflasi keseluruhan.

“Kesan daripada pelarasan harga bahan api sekali sahaja ini dijangka luput dalam tempoh setahun yang terhad dan sentimen jangka pendek yang stabil apabila kesan asas berkurangan,” menurut bank pusat itu.

Bagaimanapun, BNM berkata tahap risiko kenaikan inflasi akan bergantung kepada kesan yang sederhana yang sejajar dengan pertumbuhan pindahan pelarasan dasar, iaitu syarikat menaikkan harga untuk menampung kenaikan kos, lantas menyebabkan tekanan harga yang lebih meluas pada barangan lain.

Menurut bank pusat itu, dinamik upah-harga juga boleh mewujudkan risiko kebarangkalian yang kecil terhadap inflasi, meskipun risiko kesan pusingan kedua sedemikian dinilai sebagai kecil di Malaysia kerana kenaikan gaji adalah selaras dengan pertumbuhan produktiviti.

Meskipun demikian, BNM berkata kesan jangka pendek rasionalisasi subsidi bahan api terhadap inflasi dan pertumbuhan juga akan bergantung kepada jumlah dan masa pelarasan harga itu.

Selain itu, skop bantuan bersasar yang diberikan seiring dengan rasionalisasi subsidi juga adalah penting, kata BNM kerana bantuan itu akan mengurangkan kesan kos yang lebih tinggi terhadap golongan yang mudah terjejas berikutan peralihan terbabit.

Sementara itu, bank pusat itu berkata susulan meredanya kesan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) terhadap kadar faedah borong dan runcit, keadaan monetari dan kewangan domestik dijangka kekal kondusif bagi aktiviti pengantaraan kewangan, lantas menyokong pertumbuhan ekonomi.

BNM berkata, dasar monetari pada tahun ini akan memberikan tumpuan kepada mengekalkan pendirian dasar monetari yang kondusif untuk pertumbuhan yang mampan serta pada masa yang sama menguruskan risiko berhubung inflasi.

“Inflasi yang sederhana dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik pada tahun ini menyediakan landskap yang sesuai untuk pelaksanaan beberapa dasar seperti yang diumumkan oleh kerajaan.

“Pelaksanaan dasar ini termasuk usaha kerajaan untuk memperluas dan mempelbagaikan asas hasil, rasionalisasi subsidi dan dasar dalam negeri yang lain seperti dasar gaji progresif,” menurut BNM.

Bank pusat itu berkata, memandangkan tahap potensi perubahan yang akan dilaksanakan serta sebaran langkah mitigasi yang berkaitan, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan terus menilai cara faktor-faktor ini akan memberikan kesan dinamik inflasi dan keadaan permintaan.

Melangkaui dasar dalam negeri, MPC juga akan berwaspada terhadap risiko prospek kenaikan inflasi, termasuk harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan, menurut BNM.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini