Tumpuan :
Detik Niaga

Prospek aktiviti industri Petronas bagi tempoh 2023-2025 kekal positif

KUALA LUMPUR: Prospek aktiviti pelantar penggerudian, perkhidmatan telaga dan perkhidmatan dalam laut Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) kekal positif bagi tempoh 2023-2025 memandangkan aktiviti pembaikan dan penyenggaraan diperlukan untuk mengekalkan integriti kemudahan luar pantai, demikian menurut laporan Prospek Aktiviti bagi 2023-2025 yang dikeluarkan hari ini

Syarikat minyak dan gas nasional itu dalam satu kenyataan berkata prospek bagi kemudahan dasar laut, bekalan paip dan tongkang angkat berat ’kekal kukuh’ memandangkan banyak projek yang memerlukan pelantar wellhead.

“PETRONAS menjangka ketidaktentuan dalam pasaran tenaga akan berterusan dan ini memerlukan peserta industri bertindak balas dengan lebih pantas kepada perubahan dalam landskap tenaga dan menerapkan inovasi serta penyelesaian baharu ke arah masa depan yang rendah karbon,” katanya.

Naib presiden pemerolehan kumpulannya Freida Amat berkata ketika industri sedang bergerak kepada peralihan tenaga yang saksama, kerjasama dalam keseluruhan industri adalah suatu yang amat penting.

“PETRONAS komited untuk bekerjasama dengan rakan kongsi kami ketika industri mempercepat usaha ke arah penyahkarbonan operasi  sebagai sebahagian daripada peralihan tenaga yang lebih meluas.

“Peralihan kepada tenaga bersih perlu dilakukan sekarang, bagi menampung perubahan landskap tenaga yang dijangkakan berlaku menjelang 2050, yang mana memerlukan kerjasama lebih kukuh dalam kalangan industri ke arah mewujudkan penyelesaian yang cekap bagi pengurusan kos yang lebih baik, meningkatkan pengutamaan kepada pelanggan, penciptaan nilai dan penyelesaian inovatif.

“Ini penting agar kita tidak terlepas peluang untuk mengemudi peralihan tenaga dengan jaya,” katanya.

Laporan prospek aktiviti itu juga mengetengahkan visi dan strategi Dasar Tenaga Negara 2022-2040 untuk menggalakkan penembusan tenaga boleh diperbaharui dengan lebih giat lagi yang termasuk mengoptimumkan gabungan penjanaan kuasa melibatkan kemajuan teknologi pesat pada hari ini.

Ia juga akan melibatkan pelaksanaan pemboleh fizikal dan kawal selia bagi menampung kemajuan sistem kuasa dan meningkatkan kesalinghubungan sistem grid antarabangsa.

Dalam laporan tersebut, PETRONAS juga telah menggariskan aktiviti dengan impak positif ke atas industri, iaitu sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, pelaburan berterusan dalam projek pertumbuhan dan usaha proaktif untuk mengurangkan impak daripada perubahan iklim.

Salinan digital boleh didapati di https://www.petronas.com/sites/default/files/uploads/content/2023/PETRONAS%20Activity%20Outlook%202023-2025.pdf – BERNAMA

Loading...
Terkini