comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Prospek 2024: Ekonomi dijangka berkembang 4.5%, ringgit potensi jadi mata wang terbaik serantau

Sesi taklimat media mengenai Makro dan Tinjauan Pasaran 2024 oleh Affin Group hari ini.

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Setelah berdepan pelbagai tekanan tahun lalu, ringgit dijangka mampu mengukuh sekitar RM4.4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir 2024, sekaligus menjadikan ia mata wang dengan prestasi terbaik di rantau ini.

Ketua Ahli Ekonomi Affin Group, Alan Tan Chew Leong berkata ia susulan tekanan perkembangan luaran yang dijangka mereda, terutama daripada kesan pengetatan dasar monetari.

“Kemungkinan besar kita akan melihat separuh kedua 2024 di mana Rizab Persekutuan AS akan normalisasi atau mengurangkan kadar faedah. Apabila bank pusat utama di rantau ini mengekalkan kadar faedah, maka lebih banyak aliran masuk modal akan kembali ke rantau ini. Saya fikir ini akan memberi sentimen positif terhadap ringgit,” katanya pada taklimat media mengenai Makro dan Tinjauan Pasaran 2024 oleh Affin Group hari ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) juga dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 3.0 peratus sepanjang tahun ini.

Dalam pada itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang kukuh 4.5 peratus pada 2024, berbanding sasaran 4.0 peratus untuk 2023.

Selain permintaan tinggi produk elektrik dan elektronik, permintaan domestik iaitu perbelanjaan isi rumah dan aktiviti pelancongan akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara tahun ini.

Inflasi juga dijangka berlegar antara 3.0 hingga 3.5 peratus tahun ini, susulan peningkatan harga bahan api setelah pelaksanaan subsidi bersasar, berbanding jangkaan 2.8 peratus untuk keseluruhan tahun lalu.

Ketua Penyelidikan Affin Hwang, Loong Chee Wei berkata pihaknya mensasar penanda aras FBM KLCI mencecah 1,600 akhir tahun ini.

Syarikat turut memberi penarafan tinggi terhadap sektor perladangan, pembinaan, perbankan, utiliti dan hartanah untuk 2024.

Loading...
Terkini