KUALA LUMPUR: Kumpulan teknologi hartanah Asia Tenggara, PropertyGuru telah mengiktiraf New World Development Co Ltd dari Hong Kong sebagai Pemaju Terbaik (Asia) pada Finale Akhir Anugerah Hartanah Asia PropertyGuru ke-17 yang diadakan di Bangkok, Thailand.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan PropertyGuru Group, Hari V Krishnan berkata: “Anugerah ini terus menjadi antara penyelesaian perusahaan kami yang paling meluas, setelah berkembang selama bertahun-tahun dalam mewakili pasaran-pasaran hartanah paling dinamik di dunia merangkumi Asia Tenggara hingga ke Australia.
“Pemaju dan pereka yang memenangi anugerah ini akan menjadi penanda aras, yang mana, kami berharap dapat membimbing pencari hartanah ke arah meneroka, membiayai serta memiliki hartanah yang terbaik.
“Dalam edisi ke-17 Anugerah Hartanah PropertyGuru Asia Finale Akhir ini, kami bukan sahaja memperkenalkan rumah impian di rantau ini tetapi juga pembangunan kediaman-kerja-hiburan yang terbaik serta paling mampan termasuk ruang kerja, hab runcit, hotel, pusat peranginan dan taman perindustrian ke platform antarabangsa. Sama ada anda sedang mencari, menjual atau membina hartanah, anda akan sentiasa mendapat tempat,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Ciputra Group dan Pengarah Presiden PT Ciputra Development Tbk, Candra Ciputra telah memenangi anugerah Ikon PropertyGuru.
KL Wellness City oleh KL Wellness City Sdn Bhd dinobatkan sebagai Pembangunan Kegunaan Bercampur Terbaik (Asia) dan Infinity8 Reserve JBCC oleh Infinity Group memenangi Ruang Kerja Bersama Terbaik (Asia), kata kenyataan itu.
Kesemua pemenang-pemenang serantau dipilih daripada kumpulan elit pemenang negara daripada siri Anugerah Hartanah Asia PropertyGuru tahun ini.
PropertyGuru menjelaskan terdapat 48 kategori yang telah berkembang selama bertahun-tahun bagi mewakili beberapa pasaran hartanah yang paling dinamik di dunia dari Asia Tenggara ke Australia.
Hari memberitahu pemaju dan pereka dari pelbagai negara yang memenangi anugerah akan dilihat sebagai indikator dalam pasaran masing-masing dan kumpulan itu ingin “membimbing pencari hartanah ke arah meneroka, membiayai dan memiliki hartanah yang betul.”
Sementara itu, Pengurus Besar Acara dan Anugerah Hartanah Asia PropertyGuru, Jules Kay berkata pemenang mewakili kepelbagaian, kemajuan dan daya tahan dalam pasaran hartanah masing-masing.
“Dengan projek-projek yang terdiri daripada pembangunan kediaman butik sehingga daerah bersepadu yang luas, pembangunan yang memenangi anugerah ini menawarkan gambaran yang mengagumkan tentang apa yang terbaik di Asia,” katanya.
Finale Akhir 2022 disiarkan secara langsung di AsiaPropertyAwards.com termasuk di saluran rasminya di Facebook dan YouTube. – BERNAMA