Tumpuan :
Detik Niaga

Projek ART Kuching ubah landskap pengangkutan di Sarawak

Sistem Aliran Transit Automasi (ART) Kuching

KUALA LUMPUR: Projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) Kuching yang menjadi sebahagian daripada fasa pertama pelan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dengan anggaran kira-kira RM6 bilion menjadi bukti kepada tekad Sarawak untuk terus memperkasa prasarana di negeri itu.

Penganalisis RHB Investment Bank, Adam Mohamed Rahim, berkata fasa pertama projek yang mendapat pembiayaan penuh daripada kerajaan Sarawak itu membabitkan panjang jajaran mencecah kira-kira 70 kilometer merangkumi tiga landasan dan 31 stesen dengan landasan tersendiri.

“Kami percaya masih ada peluang kerja untuk digarap daripada projek ini terutama pakej 2 Garisan Biru dan pakej Garisan Hijau yang masih lagi belum ditawarkan.

“Syarikat yang berpotensi mendapat manfaat daripada pakej-pakej ini termasuklah Kimlun Corp Bhd dan KKB Engineering Bhd,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Projek ART Kuching mempunyai tiga garisan iaitu Biru, Merah dan Hijau.

Pakej 1 Garisan Biru yang bernilai RM569 juta ditawarkan pada November 2023 kepada sebuah syarikat usaha sama (JV) yang membabitkan Ibraco Construction Bhd, China Railway Engineering Corp (M) Sdn Bhd dan Nanyang Tunnel Engineering.

Sementara itu, pakej kerja Garisan Merah yang bernilai RM943.3 juta diraih oleh syarikat JV yang terdiri daripada Sri Datai Construction (Sarawak), JV Builders dan CHEC Construction.

Loading...
Terkini