
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd berharap lebih banyak syarikat tersenarai awam (PLC) akan bersama-sama memulakan Program Transformasi PLC, dengan matlamat meningkatkan prestasi syarikat dan melonjakkan kedudukan Korporat Malaysia.
Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata program ini diilhamkan daripada Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dari tahun 2005 hingga 2015 yang menyaksikan kemajuan ketara, terutama dalam merekodkan pertumbuhan keuntungan sekurang-kurangnya 10 peratus.
“Malah, bagi PLC, ia akan lebih fokus, kurang preskriptif dan atas dasar sukarela dalam tempoh lima tahun,” katanya semasa berucap pada majlis Building Trust Awards 2023 PwC Malaysia semalam.
Selain meningkatkan prestasi, beliau berkata program ini akan membantu PLC untuk menjadi mampan, bertanggungjawab secara sosial, beretika dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Sementara itu, Rakan Pengurusan PwC Malaysia Soo Hoo Khoon Yean berkata syarikat-syarikat berhadapan saingan sengit tengah-tengah tahap keraguan yang belum pernah berlaku sebelumnya serta kelesuan terhadap iklim ekonomi.
Justeru, kepercayaan perlu diutamakan dan perniagaan harus mengambil inisiatif dalam membina kepercayaan.”Sememangnya, persekitaran yang berubah dengan cepat telah menjadikan ia lebih kompleks bagi syarikat untuk mencapai hasil yang mampan dan memperoleh kepercayaan yang diperlukan untuk berjaya,” katanya.
Merujuk kepada Tinjauan CEO Global 2023, beliau berkata hanya 51 peratus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia yang terlibat dalam tinjauan itu yakin syarikat mereka akan berdaya maju dari segi ekonomi untuk 10 tahun atau kurang jika mereka terus berada dalam landasan semasa. -BERNAMA