Oleh: Amanda Lopez
BANTING: Syarikat kayu-kayan tempatan digesa menyertai Program Transformasi Kilang di bawah Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC).
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, inisiatif itu telah berjaya menjana pelbagai inovasi baharu menerusi 58 syarikat tempatan.
Antara produk inovasi yang berjaya dibangunkan termasuk pintu yang dihasilkan menggunakan batang kelapa sawit.
Produk itu juga mendapat permintaan tinggi di pasaran global.
“Apabila kita buat tanaman semula, kita selalunya akan buang kayu ini kita panggil OPT, Old Palm Trunk.
Jadi, mereka dapat satu teknologi ia hasilkan pintu yang lebih berkualiti dan diterima pakai oleh negara-negara luar dari Malaysia ini, kerana merupakan satu pokok yang hasil daripada sistem sustainability yang kita buat dalam kitaran semula palm oil,” katanya selepas melakukan lawatan ke kilang Weng Meng Industries yang berpangkalan di sini, hari ini.
Hampir lebih 70 peratus produk yang dihasilkan dieksport ke luar negara.
“Ini merupakan salah satu daripada program yang dikendalikan oleh MTC dan banyak manfaat yang telah mereka dapat dan akhirnya banyak syarikat ini dulu lebih tumpu kepada pasaran domestik, kini mereka telah menjadi pengeksport ke negara-negara di luar,” ujarnya.
Sementara itu, syarikat yang menyertai Program Transformasi Kilang dilaporkan dapat meningkatkan lebih 10 peratus produktiviti.
Ini selain menjana penjimatan sehingga RM3.2 juta setahun, melalui penambahbaikan sistem kawalan kualiti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.