comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Program Residensi Rakyat akan dibentang ke kabinet – KPKT

Nga Kor Ming pada sidang media selepas majlis perasmian ACMROCH 2024 dan ARCHIDEX 2024 di Kuala Lumpur, hari ini – FOTO: NSTP

Oleh: Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membentangkan model baharu perumahan rakyat yang dikenali Program Residensi Rakyat (PRR) ke kabinet, dalam tempoh terdekat.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata di bawah program ini, kerajaan negeri dikehendaki menyediakan tanah secara percuma, bagi menjamin pembinaan rumah yang lebih berkualiti untuk rakyat.

“Jika dulu kerajaan persekutuan perlu membayar 35 peratus daripada kos tanah kepada kerajaan negeri, dengan PRR lebih banyak tanah di negeri dapat dibina dengan kediaman mampu milik.”

“Sebagai contoh, jika peruntukan RM100 juta, sejumlah RM35 juta digunakan bagi membeli tanah. Sekarang, semua peruntukan itu akan digunakan untuk membina rumah.” katanya kepada media selepas majlis perasmian Sidang Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan (ACMROCH) dan perasmian ARCHIDEX 2024 di sini, hari ini.

Beliau menambah cadangan ini diterima baik kerajaan negeri dan 32 bidang tanah sudah diserahkan untuk program berkenaan.

Dalam pada itu, KPKT akan melancar aplikasi super yang memberi maklumat seperti lokasi risiko banjir bagi pembeli rumah serta pemaju.

“Siapa lain kali nak beli rumah masuk aplikasi analisis Big Data boleh nampak rekod pemaju, boleh nampak projek tersebut ada banjir ke tidak banjir atau perbandingan harga.” kata Nga.

“Ketika ini KPKT dalam proses transformasi digital bagi memastikan semua data di bawah satu sistem. Maka arkitek, pemohon, pemaju, atau pembeli , semua boleh rujuk aplikasi super ini sebagai bahan rujukan.”

Menurut Nga aplikasi ini akan memberi kemudahan berniaga dan membantu sesiapa yang terlibat dalam sektor hartanah ini membuat keputusan yang lebih tepat sekaligus mengurangkan hartanah tidak terjual.

Aplikasi super itu dijangka siap dan beroperasi menjelang tahun depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini