Tumpuan :
Detik Niaga

Program Pemerkasaan Usahawan Wira: Bantu veteran B40 ceburi perniagaan

Adly Zahari ditemui pada Program Pemerkasaan Usahawan Wira di ibu negara, hari ini.- FOTO: LTAT

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Seramai 35 usahawan veteran B40 disasar untuk menjayakan program perintis Pemerkasaan Usahawan Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan kerjasama People Systems Consultancy.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, program memberi peluang kepada veteran untuk meningkatkan taraf hidup, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Program ini bukan sahaja menyediakan ilmu dan kemahiran, tetapi turut membuka akses kepada jaringan industri serta pelbagai peluang yang dapat berfungsi sebagai pemangkin untuk mencapai kejayaan yang mampan,” katanya selepas meluncurkan Program Pemerkasaan Usahawan Wira LTAT 2024/2025 di sini, hari ini.

Sepanjang tempoh enam bulan, peserta akan mengikuti program pembangunan kapasiti yang komprehensif, merangkumi modul latihan keusahawanan bersepadu, sesi bimbingan mentor mentee, pembelajaran dalam talian dan penguasaan literasi kewangan.

Adly turut menyeru usahawan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar lebih cakna dan progresif dalam merebut insentif yang disediakan kerajaan menerusi Belanjawan 2025.

Antaranya, Ikhtiar Sejati MADANI dengan peruntukan RM1 bilion bagi membugar ekonomi desa, melibatkan kerjasama agensi dan jabatan kerajaan, universiti dan institusi TVET.

Selain itu, kemudahan pembiayaan perniagaan termasuk penjaja kecil bernilai RM40 bilion di bawah agensi Kerajaan seperti TEKUN dan Bank Negara Malaysia.

Geran Padanan Digital PMKS dan Geran Digital Penjaja turut disediakan di bawah BSN berjumlah RM50 juta sebagai galakan peralihan model perniagaan secara automasi dan pendigitalan

Terdapat juga RM20 juta geran padanan iTEKAD untuk usahawan mikro berpendapatan rendah.

Juga peruntukan RM10 juta untuk Program Ekonomi MADANI dalam Kem Tentera bagi memberi peluang keusahawanan dalam kalangan isteri tentera di kem seluruh negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini