comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Program bantuan tunai mungkin dikurangkan RM1 bilion – Penganalisis

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Program bantuan tunai daripada kerajaan dijangka mengalami pengurangan sebanyak RM1 bilion, dianggarkan untuk mencecah RM7 bilion pada 2024 yang mencerminkan kemajuan negara pasca pandemik, demikian menurut pandangan penganalisis.

Penganalisis TA Securities, Raymond Ng Ing Yeow, berkata kriteria kelayakan untuk bantuan tunai berkenaan akan dinilai melalui pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), yang bertujuan untuk bertindak sebagai hab data pusat, mengumpulkan maklumat dari lebih 270 agensi kerajaan.

“Mekanisme pemeriksaan baharu ini bertujuan untuk memastikan bahawa bantuan ini diberikan terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah, yang dengan berkesan mengurangkan tekanan inflasi untuk kumpulan ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Di bawah Belanjawan 2023, isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang RM2,500 layak menerima sumbangan sehingga RM2,500 bergantung kepada bilangan anak menerusi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Beberapa pembaharuan diambil kira bagi memastikan golongan yang benar-benar terkesan mendapat manfaat di bawah program berkenaan.Kerajaan juga memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih.

Sumbangan berkenaan disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan juga secara baucar untuk barangan makanan asas bernilai RM600.

Ia bermakna, keluarga dalam kumpulan miskin tegar layak menerima sumbangan sehingga maksimum RM3,100.

Secara keseluruhan, STR akan membantu meringankan beban sara hidup hampir 8.7 juta penerima dengan peruntukan disediakan hampir RM8 bilion.

Beliau menambah, peruntukan subsidi yang diunjurkan untuk 2024 dijangka akan melihat pengurangan lebih lanjut, dianggarkan mencecah RM40 bilion.

“Perlu diperhatikan bahawa pada tahun ini, subsidi dalam negara berjumlah RM58.6 bilion, seperti yang disemak semula dalam Belanjawan 2023.

“Walaupun subsidi untuk 2023 menyaksikan pengurangan sebanyak 13.1 peratus daripada RM67.4 bilion yang diperuntukkan pada 2022, ia masih jauh lebih tinggi daripada tahap prapandemik.

“Yang penting, pengurangan subsidi ini berkemungkinan tidak memberi kesan besar kepada golongan isi rumah yang kaya kerana jangkaan peningkatan perbelanjaan untuk kumpulan T20 agak sederhana berbanding dengan pendapatan keseluruhan mereka,” katanya.

Loading...
Terkini