PUTRAJAYA: Produktiviti pekerja Malaysia yang dinyatakan sebagai nilai ditambah setiap jam bekerja mencatatkan pertumbuhan 1.9 peratus dengan jumlah jam bekerja meningkat 2.2 peratus mencatatkan 9.5 bilion jam pada suku pertama, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan itu juga sejajar dengan pertumbuhan ekonomi 4.2 peratus pada suku pertama 2024.
Beliau berkata, jumlah bilangan pekerja yang dicatatkan ialah 16.4 juta orang, menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 2.1 peratus pada suku pertama 2024.
“Kedudukan ekonomi yang menggalakkan disokong oleh keadaan pasaran buruh yang stabil dan kadar pengangguran yang rendah menyebabkan produktiviti buruh per jam bekerja pada suku tahun pertama 2024 meningkat 1.9 peratus, bagi merekodkan RM42.0 per jam.
“Manakala produktiviti buruh per pekerja katanya mencatatkan pertumbuhan 2.0 peratus kepada RM24,230 per pekerja.,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Uzir berkata, dari segi prestasi sektor bagi produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah per jam bekerja, sektor pembinaan memacu prestasi keseluruhan dengan mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 12.5 peratus tahun ke tahun, diikuti oleh sektor perlombongan dan pengkuarian pada 2.7 peratus, sektor perkhidmatan pada 1.8 peratus dan sektor pertanian pada 0.9 peratus.
Beliau berkata, manakala sektor pembuatan menyusut pada negatif 0.3 peratus.
Produktiviti buruh per jam bekerja katanya menunjukkan peningkatan bagi kesemua subsektor perkhidmatan, iaitu pengangkutan dan penyimpanan (10.4 peratus); hartanah danperkhidmatan perniagaan (7.2 peratus), utiliti (6.8 peratus); perkhidmatan lain (2.5 peratus); perdagangan borong dan runcit (1.6 peratus) dan makanan & minuman dan penginapan (1.1 peratus) kecuali kewangan dan insurans (-9.0 peratus) dan maklumat dan komunikasi (-1.8 peratus).
“Produktiviti buruh dijangka mencatatkan prospek yang lebih baik memandangkan ekonomi Malaysia semakin pulih.
“Momentum positif pertumbuhan pasaran buruh dan aktiviti perniagaan yang berkembang pesat serta pengukuhan modal insan adalah antara faktor peningkatan produktiviti buruh,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.