KUALA LUMPUR: Press Metal Aluminium Holdings Bhd (Press Metal) memeterai jualan eksport segera jongkong aluminium bernilai RM110 juta dengan Daching Enterprises Ltd (Daching) dari Hong Kong, selain menandatangan janji niaga eksport selama lima tahun bagi produk yang sama bernilai RM670 juta.
Dalam kenyataan pada Jumaat, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menjelaskan janji niaga itu ditandatangani semasa mesyuarat pada 4 April yang diadakan sempena Misi Perdagangan dan Pelaburan ke China.
Menurut Matrade, Pengarah Daching dan Pengerusi Xiamen Xiashun Aluminium Foil Co Ltd, Simon Chan telah menyatakan minat kumpulan itu untuk terus mendapatkan sumber produk dari Malaysia kerana kualiti, penghantaran, kemampanan dan profesionalisme.
“Kami berharap dapat terus memperluas kerjasama kami dengan Press Metal dan mendapatkan lebih banyak jongkong karbon rendah pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Daching adalah antara pembuat kerajang aluminium tolok nipis premium terbesar dunia, dengan kapasiti pengeluaran tahunan 120,000 tan kerajang aluminium dan 220,000 tan produk kepingan aluminium.
Produknya dijual kepada pelanggan di seluruh dunia dan digunakan secara meluas dalam pembungkusan makanan dan minuman serta produk farmaseutikal, dan sebagai kerajang katod dalam bateri untuk kenderaan elektrik. — BERNAMA