comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Prasarana, redONE bekerjasama jenama semula stesen LRT KL Sentral 

Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd, Tan Sri Jamaludin Ibrahim (tiga dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Pride Fa’izah Khairuddin (empat dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif redONE, Farid Yunus (lima dari kiri) pada majlis penjenamaan semula stesen LRT KL Sentral 

KUALA LUMPUR:Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (Pride) dan redONE Network Sdn Bhd (redONE), mengumumkan kerjasama yang membabitkan penjenamaan semula Stesen LRT KL Sentral sebagai ‘KL Sentral redONE.’

Ketua Pegawai Eksekutif Pride Fa’izah Khairuddin berkata kerjasama dengan operator rangkaian maya mudah alih itu yang merupakan sebahagian daripada perjanjian hak penamaan stesen selama lima tahun, adalah inisiatif strategik bagi mewujudkan perkongsian dengan jenama terkenal selain mempamerkan dan mengembangkan kehadiran jenama mereka dalam pelbagai aset Prasarana.

“Secara amnya, hak penamaan itu adalah antara bentuk penajaan dan pemasaran paling eksklusif yang wujud pada hari ini.

“Menerusi usaha hak penamaan, pihak korporat kini mempunyai saluran langsung atau program bagi penglibatan dalam menambahbaik pengangkutan awam,” katanya pada majlis pelancaran penjenamaan semula itu di KL Sentral di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif redONE, Farid Yunus berkata usaha itu membolehkan promosi jenama berkenaan kepada berjuta-juta pengguna stesen dan seterusnya mengukuhkan kehadiran di Lembah Klang.

“Kami menyasarkan segmen B40 dan M40 dan percaya kerjasama ini adalah  platform baik dalam usaha menjangkau khalayak berkenaan,” katanya pada majlis itu.

Paparan stesen yang dijenamakan semula itu akan kelihatan di sepanjang kawasan utama dan laluan Kelana Jaya, termasuk papan tanda dan aliran peta selain dalam tren terbabit.

Loading...
Terkini