Oleh: Amanda Lopez
SELANGOR: Prasarana Malaysia diiktiraf sebagai Pusat Latihan Serantau (RTC) oleh organisasi pengangkutan awam antarabangsa, Union Internationale des Transports Publics (UITP) yang berpusat di Brussels, Belgium.
Pusat Latihan Serantau ini adalah yang kedua di Asia-Pasifik selepas Shenzhen, China.
Ketua Setiausaha UITP, Mohamed Mezghani, berkata pengangkutan awam di peringkat global berdepan dengan banyak cabaran dan memerlukan pekerja berkemahiran dalam era elektrifikasi dan automasi.
“Sebab itu penting untuk memperkenalkan program latihan dengan rakan UITP. RTC dengan Prasarana ini sangat penting dan kami hanya ada 10 di dunia.
“Pusat ini akan memberi peluang untuk berkongsi kes pengangkutan awam yang wajar dicontohi sesama rakan UITC lain,” katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian perjanjian antara Prasarana dan UITP yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.
Sementara itu, Hasbi berkata pusat serantau ini menonjolkan pengaruh Malaysia dalam penetapan dasar pengangkutan serantau di samping mewujudkan kolaborasi global dari segi teknologi terkini, dan inovasi dalam industri.
“Adanya kemampuan Malaysia yang diiktiraf peringkat antarabangsa, pekerja negara lain boleh latih di RTC di Malaysia dengan adanya monorail, kereta api lain yang menjadi sumber pembelajaran untuk timba pengalaman,” katanya.
Jelasnya, Projek Transit Aliran Automosi (ART) yang dikuasakan hidrogen di Sarawak serta turut digunakan di beberapa bandar di Eropah boleh dikongsi pengalaman dan penbelajaran.
Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, RTC juga menjadi sumber pendapatan baharu bagi Prasarana dan sedia melatih 450 pekerja dalam tempoh empat tahun akan datang.
Ini juga bagi memastikan hampir 13,000 kakitangannya mempunyai pengetahuan terkini dan amalan terbaik dalam sektor pengangkutan awam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.