comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Potensi eksport RM2.44 bilion diraih ketika lawatan PM ke China

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memperoleh RM2.44 bilion potensi eksport membabitkan sembilan pengimport utama China.

Potensi jualan itu diperoleh ketika perbincangan meja bulat yang diadakan pada 1 April 2023 sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China, dari 29 Mac hingga 1 April 2023.

Antara produk yang diminati pengimport China termasuk minyak sawit dan produk berkaitan, sarang burung yang boleh dimakan, makanan dan minuman, durian serta produk besi.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, berkata MATRADE mengikuti trend penawaran dan permintaan terkini, memadankan pengimport China dengan pembekal Malaysia dengan segera.

“Selain itu, MATRADE telah menawarkan bantuan kepada pengimport untuk menghubungi pembekal Malaysia, sama ada secara maya atau fizikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke China itu, MATRADE terbabit dalam menyelaraskan forum perniagaan dan perbincangan meja bulat bersama pengimport berprofil tinggi dan peneraju industri di negara itu.

MATRADE menganjurkan forum perniagaan sebaik saja selesai mesyuarat meja bulat, yang mana forum itu dihadiri lebih 1,000 wakil perniagaan China dan Malaysia.

Pada forum itu, sebanyak 19 memorandum persefahaman (MoU) telah bertukar dan disaksikan oleh Perdana Menteri, merangkumi kerjasama perdagangan dan pelaburan serta kerjasama pertukaran budaya.

China telah menjadi rakan kongsi dagang terbesar Malaysia selama 14 tahun berturut-turut, merangkumi 17.1 peratus bahagian daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Pada 2022, China kekal sebagai destinasi eksport utama dan sumber import Malaysia, dengan eksport Malaysia ke China melepasi paras RM200 bilion buat pertama kali, berkembang sebanyak 9.4 peratus ke paras tertinggi sepanjang masa RM210.62 bilion, manakala import dari China meningkat sebanyak 20.7 peratus kepada RM276.5 bilion. –BERITA HARIAN

Loading...
Terkini