KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) telah memeterai perjanjian transaksi jualan dan pajakan balik bernilai RM2 bilion dengan Osram Opto Semiconductors Sdn Bhd bagi kemudahan pembuatannya di Kulim Hi-tech Park, Kedah.
Osram Opto Semiconductors adalah anak syarikat tempatan milik penuh ams Osram AG, peneraju bagi penderia dan pemancar pintar yang beribu pejabat di Austria.
Dalam kenyataan bersama hari ini, ketiga-tiga pelabur bersama itu berkata transaksi jualan dan pajakan balik berkenaan dijangka selesai pada Disember 2023, dan masing-masing akan memiliki 33.3 peratus secara sama rata.
Menurutnya transaksi itu menawarkan peluang tersendiri kepada PNB, KWSP dan KWAP untuk melabur dalam aset hartanah berkualiti tinggi dan spesifikasi tinggi di Malaysia yang memberi pulangan kompetitif, dan pelaburan ini adalah untuk tempoh 10 tahun dengan strategi keluar yang jelas.
“Selain itu, pelaburan berkenaan adalah penggalak kepada pelaburan langsung asing dengan membolehkan rakan kongsi kami menggunakan lebih banyak modal di Malaysia. Langkah ini sejajar dengan satu daripada matlamat Kerangka Ekonomi MADANI yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan daya saing global kami, menghasilkan pelaburan pertumbuhan berimpak tinggi kepada negara.
“Malah, ini juga seiring dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) Malaysia, menerusi objektifnya untuk meningkatkan kompleksiti ekonomi,” kata kenyataan bersama itu.
Suntikan modal kepada sektor elektrik dan elektronik (E&E) akan membolehkan ams Osram mewujudkan kemudahan pembuatan LED 8-inci dan mikro LED automatik sepenuhnya yang pertama di dunia, katanya.
Ketiga-tiga pihak menjelaskan, kemudahan berkenaan akan merangsang pembangunan ekosistem untuk menyokong aktiviti dengan nilai tambah tinggi seperti fabrikasi semikonduktor.
“Ini menyokong visi Malaysia untuk muncul sebagai hab pembuatan berteknologi tinggi terkemuka yang akan memberikan nafas baharu kepada jenama ‘Buatan Malaysia.’
“Produk yang dihasilkan di ams Osram, Kulim II ini akan membantu matlamat negara untuk meluaskan eksport pembuatan berteknologi tinggi dan meraih kemunculan di peringkat global, yang mengukuhkan peluang bagi pekerjaan tambahan di negara ini dalam bidang sains dan semikonduktor berteknologi tinggi,” katanya.
— BERNAMA