comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PMKS berganjak ke tahap lebih tinggi, syarikat berkembang pada 2023

Datuk Ewon Benedick pada majlis Pengumuman Prestasi PMKS hari ini

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) telah mula berganjak ke tahap yang lebih tinggi apabila bilangan perusahaan mikro mencatat penurunan manakala bilangan perusahaan kecil dan sederhana meningkat pada 2023.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, PMKS menjadi tulang belakang ekonomi negara, yang merangkumi 1.1 juta perusahaan atau 96.9 peratus daripada keseluruhan perniagaan pada tahun 2023.

“Perusahaan mikro meyusut 16.9 peratus kepada 767,421 pada 2023, berbanding 923,667 pada 2022.

“Bilangan perusahaan kecil pula meningkat 35.8 peratus dan bilangan perusahaan sederhana meningkat sebanyak 7.9 peratus,” katanya kepada media pada majlis Pengumuman Prestasi PMKS hari ini.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), PMKS mencatatkan pertumbuhan sebanyak lima peratus, menyumbang RM613.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023, berbanding pertumbuhan 12.3 peratus dengan nilai RM584.1 bilion pada 2022.

Aktiviti ekonomi pada tahun tersebut didorong oleh sektor perkhidmatan khususnya pengangkutan dan penyimpanan serta subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan.

Ini susulan perbelanjaan berkaitan pelancongan yang bertambah baik daripada pembukaan semula sempadan antarabangsa oleh China pada awal 2023.

Pertumbuhan PMKS juga terus mengatasi prestasi ekonomi keseluruhan yang berkembang 3.6 peratus tahun lalu.

Pertumbuhan itu menyaksikan sumbangan PMKS kepada keseluruhan ekonomi telah meningkat 39.1 peratus, daripada 38.6 peratus pada 2022.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini