comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PMI negara susut, seiring aliran global

KUALA LUMPUR: Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Malaysia diunjur seiringan dengan aliran di peringkat global dan susut di bawah pengembangan nilai ambang 50 mata, kata Public Investment Bank Bhd.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, ia berkata PMI global misalnya kekal di bawah paras nilai ambang 49.6 pada Mei lepas, sekali gus memaparkan sentimen optimis pengilang yang kurang memberangsangkan dan di paras terendah sejak Disember, 2022.

Public Invest juga menjangkakan prestasi output pengeluaran Malaysia akan terus seiringan dengan jualan bulanan semikonduktor yang dalam aliran menurun dengan mencatat kadar pertumbuhan negatif 21.6 peratus tahun ke tahun pada April.

Statistik Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) misalnya telah bertindak melaras unjurannya untuk memaparkan penurunan dua digit iaitu negatif 10.3 peratus (US$515 bilion) dalam pasaran semikonduktor global bagi 2023 susulan pertumbuhan yang sederhana pada 3.3 peratus dalam 2022.

Bagaimanapun, pemulihan lebih mantap dijangkakan pada 2024 dengan unjuran kadar pertumbuhannya mencecah 11.8 peratus.

Public Invest juga menjangkakan prospek industri kekal suram dengan pesanan baharu eksport merosot secara ketara.

Selain itu, perniagaan di Malaysia juga berdepan persekitaran mencabar di peringkat domestik dan antarabangsa dengan jumlah pesanan yang tidak menentu.

“Indeks sentimen perniagaan pula kekal di bawah nilai ambang 100 iaitu mencecah 95.4 dalam suku pertama tahun ini berbanding suku sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd telah menyemak turun unjuran indeks pertumbuhan pembuatan Malaysia bagi 2023 kepada 2.4 peratus daripada 5.0 peratus sebelum ini (2022: 8.2 peratus) susulan data April yang lebih rendah daripada jangkaan serta prestasi tahun ke tahun yang suram.

Unjuran itu sebahagiannya adalah berdasarkan daripada semakan terbaharunya bagi 2023 iaitu negatif 4.2 peratus (2022 : 25.0 peratus) di tengah-tengah prospek pertumbuhan global yang lemah, katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini