Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Malaysia hanya akan mengemukakan cadangan baharu berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura kepada Singapura selepas memperoleh keputusan awal di peringkat kerajaan.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, cadangan baharu itu akan dibawa oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk perhatian Singapura.
“Itu belum… baru peringkat kita, sebaik ada keputusan awal baharulah akan diangkat oleh menteri, Anthony Loke kepada perhatian Singapura,” kata beliau kepada media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, dilaporkan media, kerajaan Singapura belum menerima sebarang cadangan baharu daripada Malaysia berhubung projek HSR Kuala Lumpur-Singapura.
Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Chee Hong Tat itu berkata republik itu sedia berbincang dengan Malaysia mengenai pelaksanaan semula projek berkenaan.