Tumpuan :
Detik Niaga

Platform persidangan video popular Zoom buang 1,300 pekerja

SAN FRANCISCO: Zoom Video Communications, syarikat di belakang plaform persidangan video yang popular semasa pandemik akan memberhentikan kira-kira 15 peratus daripada pekerjanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zoom, Eric Yuan juga akan mengambil pemotongan 98 peratus gaji tahun ini dan melepaskan bonus eksekutif, katanya dalam satu hantaran blog berhubung pembuangan pekerja itu.

Beliau menambah, pasukan kepimpinan eksekutif akan mengambil pengurangan 20 peratus gaji dan turut melepaskan bonus tahun ini.

Walaupun orang ramai dan perniagaan terus bergantung kepada Zoom ‘ketika dunia beralih kepada kehidupan pasca pandemik’, firma berpangkalan di Silicon Valley itu melihat pelanggan semakin mengurangkan perbelanjaan, kata Yuan dalam hantaran itu.

Zoom terpaksa membuat keputusan ‘sukar tetapi perlu’ untuk memberhentikan kira-kira 1,300 orang, atau sekitar 15 peratus daripada pekerjanya, menurut Yuan.

“Trajektori kami berubah selama-lamanya semasa pandemik apabila dunia berdepan dengan satu daripada cabaran terbesarnya, dan saya berbangga dengan cara kami bergerak sebagai sebuah syarikat untuk membolehkan orang ramai kekal berhubung,” kata Yuan.

Zoom menambah tiga kali ganda kakitangan semasa pandemik, apabila orang ramai menggunakan platform itu untuk bekerja dari jauh, perbicaraan mahkamah, acara sosial dan banyak lagi ketika risiko COVID-19 menghalang mereka daripada berkumpul secara bersemuka, menurut Yuan.

“Kami melihat bahawa orang ramai dan perniagaan terus bergantung kepada Zoom,” kata Yuan.

“Namun ketidaktentuan ekonomi global, dan kesannya terhadap pelanggan, bermakna kami perlu melakukan cara sukar untuk membuat penetapan semula supaya kami boleh mengharungi persekitaran ekonomi, memberikan khidmat kepada pelanggan dan mencapai visi jangka panjang Zoom.

“Zoom akan terus melabur dalam beberapa bidang strategik, katanya.Zoom menyertai senarai yang semakin bertambah firma-firma Amerika Syarikat (AS) mengurangkan pekerjaan apabila perbelanjaan tinggi selama beberapa tahun beralih kepada keengganan untuk berbelanja disebabkan oleh keadaan ekonomi yang sukar di seluruh dunia.

Firma komputer AS, Dell pada Isnin mengumumkan akan memberhentikan kira-kira lima peratus pekerja global, atau kira-kira 6,650 kakitangan.

Pemberhentian itu menyusuli langkah sama diambil gergasi teknologi seperti Microsoft, Meta, Alphabet, Amazon dan Twitter ketika industri berjimat untuk kemelesetan ekonomi. – AFP

Loading...
Terkini