comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PKS antara yang terima kesan limpahan industri HGHV

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Tumpuan kepada industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) akan memberikan kesan limpahan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta rakyat.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng, berkata PKS akan turut mendapat manfaat sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan global lima HGHV yang dikenal pasti iaitu tenaga boleh diperbaharui, teknologi dan digital, elektrik dan elektronik, pertanian dan industri asas tani serta nadir bumi.

Namun, katanya meskipun persatuan itu memahami kerajaan mahu membantu syarikat pemula sebagai strategi pertumbuhan ekonomi, SAMENTA berpendapat dana yang disediakan menerusi RMK12 dapat membuahkan hasil yang lebih baik jika disalurkan kepada PKS berpertumbuhan tinggi dan berimpak tinggi.

“Sebagai contoh, PKS yang sedia untuk mengeksport boleh dimudahcarakan melalui penyesuaipadan pasaran berfokus dan bantuan dalam reka bentuk pembungkusan dan penjenamaan.

“Modal teroka dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga harus digalakkan untuk membiayai PKS dalam aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A), memandangkan PKS yang sudah matang bukan sahaja membawa risiko pelaburan yang lebih rendah tetapi juga mempunyai kedudukan yang lebih kukuh dalam rantaian bekalan global,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan membuat tindakan yang tepat untuk memperbetulkan hala tuju RMK12 dalam keadaan ekonomi global yang semakin tidak menentu.

Katanya, walaupun harus terus memberi tumpuan kepada pelaburan asing, Malaysia juga perlu memberi tumpuan secukupnya kepada pelaburan domestik dan menggalakkan nilai tambah yang lebih besar daripada pemain industri tempatan, melalui peningkatan produktiviti.

“SAMENTA bekerjasama rapat dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) beberapa tahun ini, untuk memacu automasi dan penerimagunaan teknologi dan digital yang lebih besar dalam kalangan PKS, serta menggalakkan perubahan minda usahawan PKS untuk memberi tumpuan kepada produktiviti sebagai pemangkin terpenting untuk membangunkan perniagaan mereka,” katanya.

SAMENTA juga menyokong baik rancangan untuk memberi tumpuan kepada industri kreatif dan PKS yang berdasarkan reka bentuk.

Loading...
Terkini