comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pinjaman kad kredit, kenderaan terus meningkat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kadar pinjaman pengguna meningkat pada suku pertama 2024 diterajui oleh pertumbuhan pinjaman kad kredit dan sewa beli kenderaan sebanyak 10 peratus, selain gadai janji kediaman sebanyak tujuh peratus.

RHB Investment Bank dalam satu nota penyelidikan berkata, kadar pertumbuhan itu kekal melepasi paras industri, berbanding pinjaman untuk kegunaan modal kerja yang naik pada kadar lebih rendah iaitu lima peratus tahun ke tahun.

Bank pelaburan itu berkata, secara perbandingan suku tahunan pula, pinjaman bagi pembelian hartanah bukan kediaman juga dilihat melonjak dua peratus.

“Pinjaman sistem berkembang enam peratus tahun ke tahun pada Mac, dipacu oleh segmen isi rumah (enam peratus), kewangan (15 peratus) dan perdagangan borong & runcit (sembilan peratus),” katanya dalam satu nota penyelidikan yang disediakan oleh penganalisis Nabil Thoo, David Chong dan Wan Muhammad Ammar Affan.

Mengulas lanjut, RHB Investment Bank berkata, sistem perbankan sedang berkembang dengan lebih pesat berbanding sasaran tahunan antara 4.5 hingga 5 peratus, seperti diramalkan untuk 2024.

Bank pelaburan itu berkata, permohonan dan kelulusan pinjaman tahunan sehingga hari ini pula dilihat mendatar.

“Jika trend itu berterusan ditambah dengan kesan asas daripada kenaikan pertumbuhan pinjaman pada akhir 2023, pertumbuhan keseluruhan mungkin akan perlahan pada masa hadapan,” katanya.

RHB Investment Bank berkata, permohonan pinjaman pada Mac 2024 juga berada di tahap yang baik apabila nilainya mencecah RM117 bilion disebabkan oleh musim perayaan pada April.

Ia berkata, secara kumulatif, permohonan pinjaman sistem pada tiga bulan pertama 2024 menokok satu peratus tahun ke tahun.

Namun katanya, pemberian pinjaman mendatar tahun ke tahun dan pemberian pinjaman kepada perniagaan adalah lebih rendah.

“Kami percaya pemberian pinjaman kepada perniagaan mungkin meningkat pada beberapa bulan selanjutnya apabila projek pembangunan besar dilancarkan secara berperingkat, khususnya jika keadaan makroekonomi semakin jelas,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini