comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PETRONAS, Vestigo kongsi pengeluaran gas di luar pesisir Sabah

KUALA LUMPUR: PETRONAS menerusi Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) menandatangani Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) bagi Aset Medan Kecil (SFA) dengan Vestigo Petroleum Sdn Bhd (Vestigo) untuk kluster Peluang Sumber Ditemui (DRO) di bawah ‘Malaysia Bid Round Plus’ (MBR+).

Terletak di luar pesisir pantai Sabah, Kluster NBE yang terdiri daripada medan Nosong, Bongawan North dan Epidot adalah kluster penemuan gas yang utama.

Medan yang setanding ialah Samarang, medan matang yang terletak 25 kilometer di selatan Nosong yang menunjukkan keupayaan pengeluaran terbukti.

Ini menandakan anugerah pertama PSC di Sabah di bawah promosi MBR+.

Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Bacho Pilong, berkata anugerah PSC itu menandakan kejayaan kitaran MBR+ yang diperkenalkan pada Oktober 2023.

Katanya, MBR+ menyediakan saluran tambahan bagi pelabur untuk meneroka dan memperoleh DRO dan Aset Hayat Akhir (LLA) yang terdapat di Malaysia selain daripada MBR tahunan dengan mengguna dan menilai maklumat tersedia melalui PETRONAS myPROdata.

“Kami terus bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah dalam mengarahkan iklim pelaburan dan ekosistem yang dinamik, yang penting dalam menyokong komuniti dan syarikat tempatan Sabah untuk maju lebih jauh dalam industri ini

“Dalam beberapa minggu akan datang, PETRONAS akan menandatangani PSC baharu dengan lebih ramai pemenang MBR+,” katanya dalam satu kenyataan susulan pemeteraian kontrak itu baru-baru ini.

Majlis disaksikan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Sementara itu, Masidi berkata, kerajaan Sabah berharap untuk melihat pembangunan Kluster NBE.

“Kami mengalu-alukan operator yang berkemampuan seperti Vestigo untuk meneroka, melabur, dan membangunkan sumber minyak dan gas Sabah.

“Pada masa yang sama, kami komited untuk menyokong pertumbuhan syarikat perkhidmatan minyak & gas dan peralatan tempatan di Sabah serta menggalakkan kerjasama yang meningkatkan penyertaan syarikat negeri yang berkelayakan dalam industri ini,” katanya.

MPM bertindak bagi pihak PETRONAS dalam pengurusan keseluruhan sumber petroleum Malaysia sepanjang kitaran hayat aset minyak dan gas huluan.

Ia sedang menjalankan usaha ke arah mencapai operasi rendah karbon dan rendah emisi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini