KUALA LUMPUR: PETRONAS Suriname E&P B.V. (PETRONAS Suriname E&P), sebuah anak syarikat PETRONAS menemui minyak di telaga penerokaan Roystonea-1 di Blok 52 Suriname.
Syarikat minyak dan gas nasional itu dalam satu kenyataan berkata, telaga minyak yang terletak kira-kira 185 kilometer di luar pesisir pantai dengan kedalaman air 904 meter itu berjaya digerudi sehingga kedalaman keseluruhan 5,315 meter.
Ia juga menemui beberapa pakej takungan batu pasir Campanian yang mengandungi minyak.
Penilaian lanjut sedang dijalankan untuk menentukan tahap penuh penemuan itu dan potensi sinergi pembangunannya dengan penemuan Sloanea-1 yang dibuat pada 2020 dalam blok yang sama.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan PETRONAS, Datuk Adif Zulkifli, berkata PETRONAS melihat penemuan minyak Roystonea-1 sebagai perkembangan positif ke arah merealisasikan strategi tong berbezanya bagi usaha huluan antarabangsa, memfokuskan kepada penemuan bahan dengan bahan cemar yang minimum.
Sementara itu, Naib Presiden Eksplorasi PETRONAS, Mohd Redhani Abdul Rahman, berkata kejayaan Roystonea-1 dijangka memacu penerokaan selanjutnya untuk sumber hidrokarbon yang berdaya maju secara komersial di kawasan sekitar.
Blok 52, yang meliputi kawasan seluas 4,749 kilometer persegi, terletak di utara pantai Paramaribo, ibu kota Suriname, dalam kawasan lembangan Suriname-Guyana.
PETRONAS Suriname E&P ialah pengendali Blok 52 dengan 50 peratus kepentingan penyertaan.
Sebagai tambahan kepada Blok 52, PETRONAS Suriname E&P mengendalikan Blok 48 dengan 100 peratus kepentingan penyertaan.
Ia juga adalah rakan kongsi dengan 30 peratus kepentingan penyertaan bukan operasi dalam Blok 53 bersebelahan di mana penemuan minyak Baja-1 dibuat pada 2022.