KUALA LUMPUR: PETRONAS menyasarkan untuk mengembangkan bekalan bahan api penerbangan mampan (SAF) kepada syarikat penerbangan antarabangsa, kata Naib Presiden Eksekutif PETRONAS (Hiliran), Datuk Sazali Hamzah.
Pada Mei tahun ini, anak syarikatnya Petronas Dagangan Bhd menandatangani perjanjian mengambil alih SAF dengan Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines sebagai sebahagian daripada usaha untuk membangunkan bahan api hijau (mesra alam) pada skala komersial di Malaysia.
“Selain itu, kami juga sedang mencari syarikat penerbangan antarabangsa. SAF bukan sahaja untuk Malaysia tetapi juga Eropah kerana mereka sanggup membayar lebih tinggi,” kata Sazali kepada Bernama pada sesi lawatan media ke ibu pejabat Pasukan Mercedes-AMG Petronas F1 di Brackley, England baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai rancangan terbabit.
Di bawah perjanjian dengan MAG, Petronas Dagangan akan membekalkan lebih 230,000 tan SAF kepada syarikat penerbangan MAG, syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines dan Firefly serta MASwings dengan penghantaran pertama dijangka mulai tahun 2027 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Semasa mesyuarat agung tahunannya di Istanbul, Turkiye pada Jun, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengumumkan jangkaan pengeluaran bahan api boleh diperbaharui keseluruhannya untuk mencapai anggaran kapasiti sekurang-kurangnya 69 bilion liter (55 juta tan) menjelang 2028.
SAF akan menyumbang sebahagian daripada pengeluaran yang semakin meningkat itu yang dicapai melalui penapisan bahan api baharu yang boleh diperbaharui dan pengembangan kemudahan sedia ada.Apa yang penting, pengeluaran yang dijangkakan mempunyai jejak geografi yang luas meliputi Amerika Utara, Eropah dan Asia-Pasifik, katanya.
Namun, IATA telah menyeru syarikat penerbangan di Asia-Pasifik untuk mengukuhkan kesediaan mereka dalam peralihan kepada mandat SAF dibantu oleh dasar dan insentif kerajaan untuk menggalakkan peningkatan pengeluaran SAF. –BERNAMA