Tumpuan :
Detik Niaga

Petronas, Sabah perluas kerjasama Industri O&G

Hasliza (dua dari kanan) bersama Dionysia (tengah) memeterai HoA dengan disaksikan Hajiji (dua dari kiri), Masidi (kiri) dan Tengku Muhammad Taufik

KUALA LUMPUR:Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan kerajaan negeri Sabah menandatangani Perjanjian Induk (HoA) untuk meperluaskan kerjasamanya dalam industri minyak dan gas (O&G).

Dalam kenyataan hari ini, Petronas berkata HoA berkenaan melibatkan anak syarikat milik penuhnya, Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) dan SMJ Sdn Bhd (SMJSB) iaitu syarikat milik penuh kerajaan negeri Sabah.

Katanya HoA berkenaan membuka peluang kepada potensi pembelian sebanyak 50 peratus kepentingan penyertaan SMSJB dalam kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) Samarang.

Medan Samarang terletak kira-kira 50km di luar pesisir Sabah.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PCSB Hasliza Othman dan CEO SMJSB Dr Dionysia Aloysius Kibat, disaksikan oleh Presiden dan CEO kumpulan Petronas Datuk Tengku Muhammad Taufik, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Mengulas mengenai perjanjian itu, Tengku Muhammad Taufik berkata Petronas menyokong aspirasi Sabah untuk kemakmuran bersama dan meneruskan pembangunan yang mampan.

“Mempunyai SMJSB sebagai rakan perniagaan huluan kami menunjukkan usaha Petronas dalam mewujudkan alam sekitar yang lebih inklusif kepada industri O&G di Sabah untuk luar pesisir dan dalam pesisir.

“Potensi penyertaan SMJSB dalam PSC Samarang turut memaparkan komitmen berterusan Petronas di bawah Perjanjian Kerjasama Komersial untuk membangunkan dan membuka sepenuhnya potensi industri O&G Sabah,” katanya.

Petronas berkata PSC Samarang ialah aset pengeluaran yang terdiri daripada hab O&G di Sabah dan ketika ini menghasilkan kira-kira 36,000 tong minyak sehari (boe/d) untuk kedua-dua O&G.

Gas dihantar kepada pelanggan di Kota Kinabalu dan Labuan.

Pada awal tahun ini, Petronas Chemicals Group Bhd menandatangani HoA bagi mengalu-alukan penyertaan SMJSB sebagai rakan kongsi Petronas Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd yang merupakan sebahagian daripada usahanya untuk menyediakan perkongsian perolehan yang lebih besar dengan syarikat berkaitan kerajaan Sabah.

Pada 15 Februari, PCSB dan E&P Malaysia Venture turut menandatangani surat persefahaman dengan SMJSB mengenai pengaturan pilihan melibatkan Blok SB409 PSC, yang memberikan sehingga 20 peratus kepentingan penyertaan kepada kerajaan negeri Sabah selepas komitmen kerja atau penemuan komersial diselesaikan, atau mana-mana yang lebih awal.

BERNAMA

Loading...
Terkini