Tumpuan :
Detik Niaga

Petronas Gas catat untung lebih besar RM468.46 juta

Petronas Gas Bhd (PetGas)

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Petronas Gas Bhd (PetGas) pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 meningkat kepada RM468.46 juta daripada RM425.82 juta dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, perolehan pada suku tahun berkenaan berkurangan 0.9 peratus atau RM14.5 juta kepada RM1.55 bilion daripada RM1.56 bilion sebelum ini berikutan perolehan yang rendah daripada segmen regasifikasi dan pengangkutan gas.

Segmen itu mencatatkan perolehan yang rendah berikutan tarif regasifikasi dan pengangkutan yang diluluskan rendah di bawah Tempoh Kawal Selia 2 diimbangi oleh perolehan yang tinggi daripada segmen utiliti dan pemprosesan gas berdasarkan harga produk dan insentif prestasi yang tinggi.

“Kumpulan mengekalkan prestasi kebolehpercayaannya yang bertaraf dunia di semua loji dan kemudahannya pada suku tahun tersebut,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

Bagi tempoh sembilan bulan, PetGas mencatatkan keuntungan bersih yang tinggi sebanyak RM1.38 bilion berbanding RM1.23 bilion dalam tempoh sama pada tahun kewangan sebelum ini.

Perolehan turut meningkat kepada RM4.86 bilion berbanding RM4.53 bilion.Lembaga Pengarah telah meluluskan dividen interim ketiga sebanyak 18 sen sesaham biasa berjumlah RM356.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

“Dividen akan dibayar pada 15 Disember 2023 kepada pendeposit yang berdaftar dalam rekod pendeposit semasa penutup perniagaan pada 5 Disember 2023,” menurut kumpulan itu. – BERNAMA

Loading...
Terkini