KUALA LUMPUR: Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) untuk membina kilang kitar semula kimia termaju terbesar di Asia dengan kapasiti 33 kilo tan setahun. Kilang itu akan ditempatkan di Pengerang, Johor dan disasarkan untuk beroperasi pada separuh pertama 2026.
Pengumuman FID itu turut menyaksikan pemeteraian perjanjian lesen teknologi (TLA) antara anak syarikat PCG dan Plastic Energy Ltd (Plastic Energy) dan penganugerahan kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) kepada Mutiara Etnik Sdn Bhd.
Dalam satu kenyataan bersama, ia berkata, kilang itu akan membuka potensi keupayaan kitar semula bahan kimia sisa plastik di Malaysia sebagai sebahagian daripada agenda Ekonomi Plastik Baharu PCG untuk menyokong peralihan ke arah ekonomi kitaran dan menyumbang kepada ekosistem plastik yang lestari.
“Ia akan dilakukan melalui penukaran plastik akhir hayat kepada minyak pirolisis atau TACOIL, yang boleh digunakan sebagai bahan mentah kimia ke arah pengeluaran plastik lestari,” katanya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mohd Yusri Mohamed Yusof, berkata menerusi kilang kitar semula kimia termaju, kumpulan itu membayangkan memacu inovasi merentasi rantaian nilai plastik sambil mewujudkan peluang kepada semua pihak, daripada pemungut sisa kepada pengilang, untuk bersama-sama menyumbang kepada ekonomi kitaran plastik.
“Ini membolehkan kami memacu aspirasi negara dalam menghapuskan plastik sekali guna secara berperingkat, selaras dengan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030, sambil memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada jenama utama untuk pembungkusan lestari,” katanya.