Tumpuan :
Detik Niaga

PETRONAS catat untung bersih RM55.1 bilion pada 2024

Oleh: Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: PETRONAS mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM55.1 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024, menurun sebanyak 32 peratus berbanding RM80.7 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Pendapatan juga susut tujuh peratus kepada RM320 bilion bagi tempoh yang dikaji, berbanding RM343.6 bilion pada 2024.

Prestasi kewangan syarikat minyak dan gas nasional itu terjejas berikutan purata harga realisasi yang lebih rendah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, berkata prestasi kewangan syarikat pada 2024 kekal berdaya tahan meskipun menghadapi ketidaktentuan pasaran dan tekanan kawal selia yang meningkat akibat peralihan geopolitik global.

“Dinamik industri tenaga pada tahun 2024 dipengaruhi oleh ketidakstabilan geopolitik, dasar dan peraturan yang tidak menentu, serta ketidaktentuan ekonomi, yang memberi kesan ketara kepada harga minyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman prestasi kewangan Kumpulan PETRONAS di Menara Berkembar PETRONAS di sini, hari ini.

Susulan itu, dividen yang ditetapkan kepada kerajaan adalah berjumlah RM32 bilion.

Mengenai langkah penyusunan semula tenaga kerja, Tengku Muhammad Taufik berkata butiran terperinci akan diumumkan pada pertengahan tahun ini melalui jawatankuasa khas yang dibentuk.

“Jika kita putus untuk lakukan penstrukturan semula, yang pertama akan terjejas adalah daripada pihak pengurusan dan seterusnya.” katanya

Pada masa sama, beliau menangkis dakwaan bahawa langkah penyusunan semula tenaga kerja itu bertujuan untuk melindungi pihak pengurusan, sementara pekerja lain akan terjejas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini