comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Petronas Carigali capai keputusan pelaburan akhir bagi Projek Kasawari CCS

Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB)

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB), mencapai Keputusan Pelaburan Akhir (FID) bagi pembangunan projek Kasawari CO2 Sequestration (CCS) di luar pantai Sarawak.

FID itu diluluskan pada 20 Oktober 2022, diikuti dengan penganugerahan kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pengoperasian (EPCIC) bagi projek tersebut kepada Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE) pada 3 November 2022.

“Projek CCS itu yang terletak di Block SK316, kira-kira 200 kilometer di luar pantai Bintulu, dijangka dapat mengurangkan kuantiti karbon dioksida yang dipancarkan menerusi pembakaran sebanyak 3.3 MtCO2e (bersamaan tan metrik karbon dioksida) setahun, menjadikannya satu daripada projek CCS luar pantai terbesar di dunia,” kata Petronas dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PCSB Hasliza Othman berkata FID itu menandakan satu peringkat penting dalam kemajuan penyelesaian CCS.

“Projek ini dijangka menjadi pemangkin bagi mencapai pembangunan keupayaan CCS secara menyeluruh dalam Petronas dan langkah pertama untuk memanfaatkan potensi Malaysia sebagai hab penyelesaian CCS serantau,” katanya.

Projek tersebut disasarkan untuk membuka laluan bagi pelan penyahkarbonan masa depan bagi Petronas dan Malaysia, serta menyokong kemajuan syarikat minyak dan gas nasional itu ke arah mencapai sasaran Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050. – BERNAMA

Loading...
Terkini