comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PETRONAS berjaya temui lebih satu bilion tong setara minyak

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: PETRONAS dan Kontraktor Pengaturan Petroleum syarikat minyak dan gas nasional itu merekodkan 19 penemuan penerokaan serta dua kejayaan penilaian penerokaan, menyumbang lebih satu bilion tong setara minyak (bboe) sumber baharu untuk Malaysia pada 2023.

Pencapaian itu adalah hasil daripada program penerokaan yang dipergiatkan yang dijalankan beberapa tahun lalu, yang menyaksikan penggalian 25 telaga, bilangan telaga penerokaan tertinggi yang digali dalam setahun saja sejak 2015.

Lebih separuh penemuan itu dibuat di Lembangan Sarawak, terutamanya dalam dua kelompok dalam wilayah geologi Balingian dan Luconia Barat.

Antara penemuan ketara ialah Gedombak-1, Sinsing-1, Machinchang-1 dan Mirdanga-1 oleh PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PETRONAS Carigali), bersama Babadon-1 dan Chenda-1 oleh PTTEP Thailand.

Tiga penemuan telah dibuat di Lembangan Barat Laut Sabah.

Layang-Layang-1 oleh PETRONAS Carigali, serta Hikmat-1 dan Dermawan-1 oleh PTTEP membuktikan sistem petroleum berfungsi yang merungkai peluang baharu di kawasan laut ultra dalam dan laut dalam.

Satu lagi kempen penggalian sedang dijalankan dalam lembangan yang terbukti sama di perairan cetek di luar pantai Sabah.Dua penemuan lain telah dibuat dalam Lembangan Melayu.

Hibiscus Oil & Gas Malaysia menemui gas di telaga Bunga Lavatera-1 berhampiran hab PM3, dan membawanya ke aliran dengan kadar alir kira-kira 50mmscf sehari dalam tahun yang sama.

PTTEP menemui minyak dan gas di Simpoh Beludu-1, setelah menembusi takungan hidrokarbon di pasir Kumpulan K yang lebih dalam.

Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM) PETRONAS, Mohamed Firouz Asnan, berkata kejayaan penerokaan penting itu mengesahkan kepercayaan pihaknya bahawa terdapat lebih banyak potensi dalam apa yang dipanggil lembangan Malaysia matang, menggunakan data seismik 3D baharu dan teknologi perisian terkini untuk lebih baik mengesan potensi hidrokarbon yang lebih dalam.

Loading...
Terkini