Oleh : Afrina Romzi
PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi memperuntuk RM500 juta untuk pelaksanaan projek infrastruktur kecil awam menerusi Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR).
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kontraktor kecil bakal meraih manfaat dari projek-projek kecil ini serta mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur kecil awam di seluruh negara bagi manfaat rakyat.
“Orang ramai boleh memohon peruntukan projek kecil dengan kos tidak melebihi RM200,000. Ini seperti pembaikan jalan raya, laluan pejalan kaki, penyelenggaraan lif, baik pulih surau dan sekolah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan IKR hari ini.
IKR bertujuan mendemokrasikan dana kerajaan dalam membiayai pelaksanaan projek infrastruktur kecil awam yang terletak di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.
Tambah beliau, peruntukan keseluruhan RM500 juta itu dijangka dapat memanfaatkan 2,500 hingga 5,000 projek kecil di seluruh negara.
Projek yang dipohon juga perlulah bukan untuk tujuan keperluan atau aset individu dan tidak terletak di atas tanah milik persendirian serta tidak melibatkan pengambilan tanah.
Ia juga tidak boleh bertindih dengan projek yang telah memperoleh kelulusan peruntukan daripada agensi Kerajaan lain seperti Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri.
Orang ramai boleh memohon bantuan projek-projek infrastruktur awam kecil melalui laman web IKR — ikr.ekonomi.gov.my bermula hari ini.