Tumpuan :
Detik Niaga

Perubahan landskap ekonomi mampu tarik FDI 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengambil peluang daripada perubahan landskap ekonomi global bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong, berkata ia antara lain menjadi lonjakan kedua Malaysia untuk bergerak ke arah negara berpendapatan tinggi dengan ekosistem ekonomi dinamik dan bertenaga.

Katanya, persaingan geopolitik global menyebabkan Asia Tenggara menjadi lokasi alternatif bagi syarikat multinasional (MNC) dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang mahu beralih keluar dari China.

Beliau berkata, keadaan itu antara lain mendorong syarikat dari China yang membekalkan pelbagai produk bagi MNC di AS dan Eropah memilih Asia Tenggara sebagai destinasi pelaburan baharu.’

“Lokasi Malaysia yang strategik di Asia Tenggara, membolehkan pelabur mendapat akses pasaran luas juga adalah antara faktor mengekalkan kedudukan negara sebagai destinasi pilihan bagi pengembangan global dan serantau.

“Ia disokong faktor rantaian bekalan mantap, ekosistem dan infrastruktur kukuh serta persekitaran perniagaan kondusif di dalam negara yang boleh dimanfaatkan pelabur.

“Ketersediaan bakat tempatan terlatih turut menjadi pemangkin memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai usaha kerajaan mengekalkan MNC agar tidak beralih dari Malaysia ke negara lain.

Dalam pada itu, Chin Tong berkata, Malaysia merekodkan pelaburan bernilai RM264.6 bilion bagi pelbagai sektor dengan 61.7 peratus atau RM163.3 bilion daripada jumlah itu adalah FDI, diluluskan pada 2022.

Selain itu, katanya, pelaburan domestik menyumbang 38.3 peratus atau RM101.3 bilion dengan jumlah pelaburan diluluskan itu berpotensi mewujudkan 140,370 peluang pekerjaan baharu.

“Sebanyak 3,893 projek pengilangan dengan jumlah pelaburan bernilai RM503.3 bilion diluluskan dalam negara antara 2018 hingga Julai 2022.

“Projek ini menyediakan 331,509 peluang pekerjaan dengan RM388.2 bilion atau 77.1 peratus daripada jumlah ini adalah FDI, manakala RM115.1 bilion atau 22.9 peratus lagi adalah pelaburan langsung domestik (DDI).

“Sejumlah 93 syarikat pengilangan menutup operasi sepenuhnya, membabitkan pemberhentian seramai 17,648 orang pekerja bagi tempoh sama,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi), beliau berkata, kerajaan bertekad membantu mengurangkan kerenah birokrasi bagi mewujudkan suasana lebih harmoni terhadap syarikat tempatan dan FDI.

Beliau berkata, tekad itu antara lain bagi memastikan syarikat berkenaan dapat memulakan mahupun mengekalkan pelaburan di Malaysia, seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Faktor lain seperti kos buruh pula, penting untuk kita tidak membandingkan dengan beberapa negara lain termasuk Vietnam dan Indonesia. Ekosistem negara berbeza kerana kita tidak memiliki bilangan buruh yang ramai.

“Malaysia juga tiada dividen demografi dan perlu menuju ke arah ekosistem atau ekonomi lebih dinamik serta menawarkan (kadar) gaji lebih tinggi, selari hasrat kerajaan agar golongan muda boleh berkhidmat di dalam negara.

“Ini memerlukan anjakan pemikiran daripada pelabur dan kerajaan supaya (dapat membentuk) ekonomi negara bernilai tinggi selain tidak bergantung kepada tenaga buruh murah,” katanya.–BERITA HARIAN

Loading...
Terkini