KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang stabil, penurunan inflasi dan kewangan isi rumah yang kukuh akan menyokong pasaran kediaman pada separuh kedua 2023, kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari.
Beliau berkata pasaran hartanah kediaman dijangka bertambah baik tahun ini kerana pelbagai keadaan yang menyokong, walaupun pertumbuhan ekonomi sederhana rendah.
“Kami menjangkakan pertumbuhan harga rumah antara 1.5 peratus dan empat peratus pada separuh kedua tahun ini berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ansari berkata Malaysia telah mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi yang stabil terutamanya disebabkan langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan dan pengurusan bijak oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
“Pada suku pertama, kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 5.6 peratus dipacu oleh sektor swasta.
“Secara keseluruhan, pertumbuhan 2023 mungkin berada antara empat peratus dan lima peratus, walaupun persekitaran global tidak bertambah baik,” katanya.
Ansari berkata inflasi teras jatuh daripada 3.1 peratus kepada 2.9 peratus pada suku pertama dan percaya inflasi telah mereda dan akan terus menurun secara sederhana dalam tempoh enam bulan akan datang.