comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pertumbuhan ekonomi antara kebimbangan rakyat Malaysia – Kaji selidik

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi negara, perpecahan kaum dan penyebaran maklumat yang tidak tepat, demikian menurut tinjauan Edelman Malaysia.

Hasil daripada tinjauan sama, 97 peratus rakyat Malaysia yang bekerja bimbang hilang pekerjaan, 85 peratus risau mengenai perubahan iklim dan 73 peratus bimbang dengan perang maklumat.

Edelman Malaysia berkata, kebimbangan terhadap ekonomi timbul walaupun hakikatnya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan peningkatan suku ke suku sejak tahun lalu.

Ekonomi negara juga mencatat pertumbuhan kukuh 4.2 peratus pada suku pertama 2024, dipacu permintaan domestik dan prestasi eksport yang lebih baik.

Selain itu, Bank Dunia meramalkan ekonomi Malaysia berkembang sederhana 4.3 peratus pada 2024 dan 4.5 peratus pada 2025, disokong oleh penggunaan swasta.

“Rakyat Malaysia menyeru kerjasama penting antara perniagaan dan kerajaan untuk menangani isu sosial yang mendesak,” katanya.

Tinjauan Edelman Malaysia juga mendedahkan sokongan orang ramai terhadap perniagaan yang bekerjasama dengan kerajaan dalam inovasi telah melonjak 19 peratus sejak 2015.

Malah, ia juga menekankan bahawa 63 peratus rakyat Malaysia merasakan pengawal selia kerajaan tidak memiliki pemahaman untuk menguruskan teknologi baru muncul dengan berkesan, manakala 33 peratus daripada mereka percaya bahawa inovasi perlu diurus dengan lebih baik.

“Memandangkan kecerdasan buatan (AI) terus mengubah industri dan kehidupan seharian, terdapat keperluan kritikal bagi perniagaan dan kerajaan untuk bekerjasama dengan berkesan.

“Perkongsian ini penting untuk memanfaatkan manfaat teknologi baharu sambil menangani pertimbangan etika dan memastikan kebolehcapaian merentas semua segmen masyarakat,” kata Ketua Pegawai Operasi Edelman Malaysia, Chris de Cruz.

Di sebalik tanggapan negatif, tinjauan itu mendapati Skor Indeks Kebolehpercayaan Malaysia meningkat enam mata kepada 68 daripada 2023, meletakkan Malaysia antara 10 negara paling dipercayai teratas daripada 28 yang dikaji di seluruh dunia.

“Peningkatan kebolehpercayaan negara menggariskan peralihan positif dalam persepsi awam terhadap tadbir urus dan rangka kerja institusi negara, menandakan keyakinan yang semakin meningkat dalam keupayaan Malaysia untuk mengharungi cabaran ekonomi dan membina pertumbuhan inklusif,” kata de Cruz.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini