RAWANG: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) mengekalkan momentum pengeluaran dan jualan kukuh, apabila merekodkan pengeluaran tertinggi iaitu sebanyak 33,666 unit kenderaan manakala jualannya pula mencatatkan pendaftaran sebanyak 32,179 unit kenderaan pada bulan Mac.
Bagi tempoh tiga bulan pertama 2023, pengeluaran PERODUA meningkat sebanyak 33.9 peratus kepada 84,800 unit berbanding 63,325 unit yang dikeluarkan pada suku yang sama 2022, manakala jualan pula melonjak 27.5 peratus kepada 78,564 unit daripada 61,624 unit yang dicatatkan tempoh yang sama tahun lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata pencapaian itu disumbangkan oleh beberapa faktor, antaranya adalah menerusi usaha pengeluar kereta nasional terbabit memenuhi tempahan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sebelum 31 Mac 2023.
“PERODUA juga telah penambahbaikan pengeluaran di seluruh ekosistem pembekal dan penyelarasan yang lebih baik dalam rangkaian jualan kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengikut asas bulanan, PERODUA merekodkan peningkatan sebanyak 20.2 peratus kepada 32,179 unit berbanding 26,759 unit yang dijual pada Mac tahun lalu.
Jumlah itu juga meningkat sebanyak 29 peratus berbanding 24,936 unit yang dijual pada Februari tahun ini.
Zainal Abidin berkata, terdapat sejumlah kecil tempahan daripada PENJANA tidak dapat diserahkan kepada pelanggan terbabit.
“Kami akan meneruskan pengecualian jualan sebagaimana yang dijanjikan di bawah inisiatif terbabit. Kami juga memohon maaf di atas tempoh menunggu yang lama,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, momentum jualan PERODUA dijangka terus meningkat di masa hadapan memandangkan jumlah tempahan bagi model keluarannya terus kukuh.
Beliau berkata, pertumbuhan pengeluaran yang berterusan berjaya mengurangkan tempoh menunggu untuk beberapa model tertentu.
“Malah, bagi sesetengah model kami, tempoh menunggu telah berkurangan dengan signifikan, hanya beberapa model seperti Bezza, Axia dan Alza yang mempunyai tempoh menunggu yang lebih panjang, bergantung kepada pilihan varian dan warna,” katanya.
Bagi aspek pengeluaran pula, Zainal Abidin berkata, penurunan harga bahan mentah di peringkat global baru-baru ini telah memberikan kelegaan kepada pembekal, PERODUA serta kebanyakan pemain industri automotif.
“Situasi ini memberi kelebihan yang mana kami boleh memanfaatkannya dengan menyiapkan stok kenderaan lebih cepat dan dalam masa yang sama mengurangkan tempoh menunggu pelanggan,” katanya.
BHONLINE