comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Perniagaan jangka persekitaran menggalakkan pada suku kedua – Perangkaan

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Peniaga menjangkakan persekitaran perniagaan yang menggalakkan pada suku kedua 2024 disokong oleh petunjuk keyakinan yang positif marginal 0.7 peratus berbanding 4.2 peratus pada suku sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi perniagaan sektor industri terus optimis dengan petunjuk keyakinan sebanyak 5.3 peratus bagi suku yang sama berbanding 0.6 peratus pada suku pertama 2024.

“Perspektif yang bertambah baik dalam sektor Industri dipengaruhi oleh tiga subsektor iaitu perlombongan, pembuatan serta elektrik dan air. Keadaan perniagaan dalam sektor ini dijangka menggalakkan pada suku tahun rujukan.

“Bagaimanapun, sektor pembinaan, perdagangan borong dan runcit serta perkhidmatan mengunjurkan keadaan perniagaan yang mencabar pada suku kedua 2024,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Mohd Uzir berkata keyakinan perniagaan bagi sektor pembinaan menurun dengan petunjuk keyakinan mencatatkan 14.8 peratus pada suku tahun rujukan manakala sektor perdagangan borong dan runcit serta perkhidmatan bertukar kepada bersikap pesimis pada suku yang sama.

Responden bagi sektor perdagangan borong dan runcit menjangkakan prospek perniagaan yang kurang memberangsangkan dengan petunjuk keyakinan sebanyak 4.1 peratus pada suku kedua 2024 berbanding 4.7 peratus pada suku sebelumnya.

“Sektor perkhidmatan juga meenjangka keadaan perniagaan kurang mengalakkan pada suku kedua 2024 dengan petunjuk keyakinan merekodkan 0.9 peratus berbanding 8.6 peratus yang dicatatkan sebelumnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini