KUALA LUMPUR: Pengambilalihan The Inside Scoop dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Farm Fresh Bhd bermula Jun tahun ini daripada perniagaan aiskrim premium sedia ada, yang dijangka berkembang sebanyak 15 peratus setahun dengan rancangan pembesaran cawangannya.
Penganalisis TA Securities, Raymond Ng Ing Yeow, berkata perniagaan aiskrim itu kini mempunyai 41 cawangan di seluruh Malaysia, dengan sasaran membuka 50 lagi menjelang akhir tahun ini.
Katanya, Farm Fresh merancang untuk melancarkan produk aiskrim barangan bungkusan pengguna (CPG) baharu di bawah jenama Inside Scoop menjelang Januari 2024, memanfaatkan pengiktirafan jenama Inside Scoop yang kukuh dan rangkaian runcitnya sendiri.
“Secara keseluruhannya, kami positif terhadap pemerolehan sinergi ini kerana ia menawarkan peluang pertumbuhan kepada Farm Fresh untuk menyepadukan bekalan bahan tenusunya (susu, krim dan lemak mentega) untuk pembuatan produk aiskrim.
“Walau bagaimanapun, sumbangan CPG baharu berkemungkinan akan bermula lewat separuh kedua 2024.
Kami menjangkakan perniagaan aiskrim baharu akan menyumbang keuntungan bersih RM9.1 juta dan RM10 juta kepada kumpulan masing-masing pada tahun kewangan 2024 dan 2025,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Sementara itu, Ing Yeow berkata persekitaran operasi Farm Fresh semakin normal berikutan kos tenaga dan logistik berkurangan selepas pandemik, malah margin pengeluar produk tenusu itu juga bertambah baik memandangkan kos input utama terutamanya susu tepung penuh (WMP) berkurangan.
Beliau berkata, walaupun terdapat penurunan dalam pengeluaran susu Australia, impaknya dijangka minimum kepada kumpulan itu kerana Farm Fresh hanya memperoleh 14 peratus susu segar mentah daripada pihak ketiga.
“Struktur kos Farm Fresh masih dilihat meningkat berterusan dari suku kedua tahun kewangan 2024 dan selanjutnya disokong harga WMP yang sangat rendah.
“Harga purata WMP merosot kepada AS$3,100 satu tan sekarang berbanding kemuncak AS$4,800 satu tan pada separuh pertama 2022,” katanya.
Selain itu, Ing Yeow berkata, kos susu mewakili wajaran sebanyak 50 peratus dalam pecahan kos barangan dijual (COGS) dan nisbah susu segar mentah kepada WMP adalah kira-kira 55:45.
Justeru, beliau berkata, pihaknya percaya bahawa kos WMP mentah yang stabil akan membawa kepada pemulihan margin keuntungan kasar syarikat ke paras prapandemik sebanyak 27 peratus, ditambah dengan peningkatan lima peratus dalam purata harga jualan (ASP) untuk susu segar sejuk dan produk UHT tertentu di Malaysia berkuat kuasa pertengahan Julai 2023.