comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Permintaan sarung tangan dijangka cecah 450 bilion keping

Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Permintaan global untuk sarung tangan getah dijangka pulih semula tahun ini dan dijangka melonjak kepada kira-kira 450 bilion keping menjelang 2027, selepas mengalami penurunan kepada 307.2 bilion keping pada tahun lalu.

Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) dalam satu kenyataan berkata, trajektori ini didorong oleh peningkatan permintaan dalam pasaran utama seperti Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun, serta penggunaan sarung tangan yang semakin meluas dalam sektor bukan perubatan pasca COVID-19, termasuk hotel, restoran, kafe, industri semikonduktor dan lain-lain.

“Majlis Getah Malaysia (MRC) menjangkakan lonjakan dalam permintaan dan bersedia untuk menyokong industri bagi mencapai sasaran pertumbuhan, di mana kerjasama serta pandangan yang dikongsi akan menjadi perkara yang penting dalam mengemudi keutamaan kerajaan tempatan dan permintaan antarabangsa,” katanya.

Presiden MARGMA, Oon Kim Hung, berkata permintaan global untuk sarung tangan getah telah mengalami turun naik, namun komitmen untuk menyediakan sarung tangan berkualiti tinggi kepada dunia tetap teguh dengan mengutamakan keadilan, ketelusan dan kemampanan dalam semua amalan, khususnya penetapan harga.

“Beberapa cabaran besar berterusan termasuk harga jualan purata (ASP) yang rendah dan isu lebihan bekalan, tetapi ini tidak bermakna pemain industri sarung tangan getah Malaysia perlu melengahkan amalan etika untuk berdepan persaingan sengit daripada pemain serantau.

“Kami boleh mencari cara lain untuk menangani daya saing, di mana kani sedang mendapat sokongan daripada kerajaan dalam pelbagai perkara.

“Pihak kami telah merayu kepada kerajaan untuk memansuhkan serta-merta cukai eksport, bagi membolehkan industri mengatasi cabaran semasa dan meningkatkan daya saing globalndalam era pasca pandemik,” katanya.

Kim Hung berkata, MARGMA memberikan sokongan untuk memperkemaskan dasar seperti Perjanjian Bekalan Gas (GSA) dan memansuhkan serta-merta cukai eksport bagi meningkatkan daya saing industri.

“Selama lebih dua dekad, industri sarung tangan getah telah terbeban dengan 0.2 peratus cukai eksport, membabitkan pembayaran lebih RM500 juta, yang mana cukai ini menyumbang sehingga dua peratus daripada margin keuntungan kasar kami.

“Dengan keadaan ekonomi semasa, ASP jatuh di bawah kos pengeluaran, industri terus menanggung kerugian pada setiap kontena yang dieksport,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata MARGMA menyeru semua pemain industri untuk memajukan penekanan standard alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) demi menjamin masa depan industri.

Katanya, persatuan itu juga terlibat secara aktif bekerjasama dengan MRC dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk menyokong ahli dalam menambah baik skor ESG, selain mengamalkan amalan mampan serta digitalisasi yang selaras dengan seruan Kerajaan MADANI.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini