Oleh: Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Lokasi Greater Kuala Lumpur (KL) meraih permintaan tinggi dalam kalangan syarikat untuk menempatkan pejabat mereka.
Ketua Penyelidikan dan Perundingan, JLL Malaysia, Yulia Nikulicheva berkata permintaan ini disokong sektor pembuatan, pertumbuhan ekonomi serta amalan kemampanan.
“Sebilangan besar penyewa yang kami lihat berpindah ke ruang pejabat berkualiti tinggi untuk mengembangkan perniagaan atau mereka berpindah dari pejabat lama ke pejabat baharu,” beliau berkata demikian pada sidang media pasaran hartanah oleh JLL Malaysia bagi suku ketiga, hari ini.
Laporan itu mendedahkan kadar penghunian pejabat di bandar KL meningkat kepada 78.9 peratus pada suku ketiga, berbanding 76.4 peratus pada suku kedua.
Manakala pinggir KL naik kepada 93 peratus daripada 92.9 peratus.
Luar pusat bandar pula meningkat 83.9 peratus berbanding 82.1 peratus.
Beliau turut melihat terdapat peningkatan syarikat baharu asing yang bertapak di Malaysia tetapi mereka kebiasaannya beroperasi dalam ruang pejabat yang lebih kecil sebelum mengembangkan syarikat mereka.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.