comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Permintaan elektrik di Malaysia terus bertambah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Permintaan elektrik di negara ini dijangka terus bertahan pada separuh kedua tahun ini selepas mencecah paras puncak baharu 19,716 megawatt (MW) pada Mei.

RHB Investment Bank dalam satu nota penyelidikan berkata, permintaan elektrik terus mencatatkan peningkatan seiring dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua 2023.

“Kami dapati berlakunya kenaikan dalam campuran penjanaan arang batu kepada 60.1 peratus yang seterusnya menjatuhkan campuran gas kepada 34 peratus.

“Jumlah kapasiti tenaga boleh baharu (RE) TNB berada pada empat gigawatt (GW) setakat Jun, dan ia menyasar untuk menambah kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) tempatan dengan 1.2 GW lagi sebelum 2025.

Tenaga Nasional Bhd (TNB) juga berhasrat untuk mendapatkan lima pusat data dengan jumlah penggunaan sekitar 2GW tahun ini.

“Memandangkan harga arang batu bakal menjadi rendah pada suku-suku akan datang, impak margin bahan api masih lagi menjejaskan pendapatan bersih syarikat loji tenaga arang batu pada kadar sederhana,” kata bank pelaburan itu dalam nota yang ditulis oleh penganalisis, Sean Lim dan Miza Izaimi.

Sementara itu, RHB Investment Bank berkata kapasiti RE sebanyak 70 peratus di bawah projek Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bakal dikuasai oleh tenaga suria iaitu sebanyak 58 peratus daripada jumlah kapasiti terpasang, dan disusuli oleh tenaga hidro dan biotenaga masing-masing pada 11 peratus dan satu peratus.

Kapasiti fotovolta suria (PV) mungkin berkembang dengan rancaknya pada purata kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) 14 peratus, kepada 57 GW sebelum 2050.

“Kami masih menekankan bahawa kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) suria tempatan menjadi penerima manfaat langsung daripada peningkatan berstruktur ini.

“Apabila gas bakal terus menjadi sumber bahan api utama untuk keperluan tenaga elektrik minimum yang dibekalkan kepada grid elektrik, kami percayai pengeluar tenaga bebas (IPP) sedia ada, iaitu TNB dan Malakoff, akan mengembangkan loji berasaskan arang batu baharu pada masa hadapan berikutan penutupan loji arang batu mereka sekarang.

“Projek-projek yang memerlukan perbelanjaan modal yang tinggi iaitu pengumpulan, penggunaan & penyimpanan (CCUS) hidrogen dan karbon, mungkin akan diterajui oleh syarikat-syarikat gergasi seperti PETRONAS dan TNB, manakala pasaran sistem simpanan tenaga bateri atau BESS kekal tidak diterokai sepenuhnya,” katanya.

Loading...
Terkini