KUALA LUMPUR: Terma-terma untuk mentadbir urus perkongsian maklumat risikan kewangan antara negara anggota dalam Financial Intelligence Consultative Group (FICG) sedang dimuktamadkan untuk diterima pakai dan disasar beroperasi sepenuhnya menjelang suku kedua 2023, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat berkata inisiatif serantau ini yang dikenali sebagai Multijurisdictional Anti-Fraud Project dijalankan dengan kerjasama Suspicious Transaction Reporting Office (STRO) Singapura dan Financial Transaction Reports and Analysis Centre (INTRAC) Indonesia memandangkan penipuan bersifat rentas sempadan.
Projek itu bertujuan untuk membina mekanisme tindak balas terhadap kes penipuan yang melibatkan transaksi rentas sempadan antara Unit Perisikan Kewangan (FIU) dalam kalangan ahli FICG, khususnya dalam aspek mengesan, menjejak dan mendapatkan semula dana untuk mangsa, kata BNM dalam Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan hari ini.
Bank pusat berkata selaku pihak berkuasa berwibawa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, ia berkerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan yang memainkan peranan penting bagi memastikan rangka kerja pencegahan pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan (AML/CFT) yang holistik di dalam negara.
Pelbagai usaha termasuk penubuhan Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram (NCC) dilakukan bagi memacu penyelarasan, pelaksanaan dan pemantauan inisiatif AML/CFT pada peringkat kebangsaan.
Menurut BNM, sehingga akhir tahun 2022, satu pertiga daripada Pelan Hala Tuju NCC 2021-2023 yang merangkumi 67 inisiatif telah selesai atau sedang berlangsung iaitu bagi inisiatif yang berterusan, manakala baki dua pertiga dijangka selesai pada akhir tahun 2023.
Beberapa inisiatif penting yang dilaksanakan pada tahun 2022 termasuklah penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), mengadakan kerjasama secara formal antara Bank dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mempertingkatkan amalan penyeliaan serta pelbagai aktiviti kesedaran.
“Pada 2022, BNM juga mempertingkatkan penilaian terhadap bidang AML/CFT yang membimbangkan dan bidang risiko yang tertentu, terutamanya yang telah dikenal pasti daripada hasil penilaian NRA 2020. Secara khusus, BNM menjalankan penilaian terhadap hubungan koresponden, rasuah, penipuan dan sekatan kewangan bersasar.
“Penilaian pematuhan sektor kewangan dalam keperluan menguruskan hubungan koresponden menunjukkan bahawa langkah-langkah yang boleh diterima telah dilaksanakan dan menjadi sebahagian daripada penilaian usaha wajar mereka untuk mengurangkan potensi risiko ML/TF,” katanya.
Bagaimanapun, bank pusat berkata, penilaian terhadap keberkesanan langkah-langkah kawalan sektor kewangan dalam menguruskan risiko berkaitan rasuah, penipuan dan sekatan kewangan bersasaran masih terus dijalankan.
Bank pusat berkata Transaksi yang Mencurigakan (STR) berkaitan dengan penipuan dan pengubahan wang haram terus meningkat pada 2022.
Sebanyak 242,914 STR diterima, dengan peningkatan sebanyak 27 peratus berbanding dengan tahun 2021.
“Jenayah berisiko tinggi mewakili kira-kira 70 peratus daripada hasil risikan yang dikemukakan FIU kepada agensi penguatkuasaan undang-undang dan FIU asing. Selebihnya sebanyak 30 peratus melibatkan jenayah lain seperti kesalahan cukai, pemerdagangan orang dan pengiriman wang secara haram.
“Risikan kewangan yang dikemukakan ini telah mendorong kepada tangkapan terhadap 51 individu, pembekuan dan penyitaan aset lebih daripada RM570 juta, serta pengambilan semula hasil berkaitan jenayah yang melibatkan jenayah terancang dan kesalahan cukai sebanyak RM372 juta,’’ kata BNM. – BERNAMA