Tumpuan :
Detik Niaga

Perkenal semula GST dengan kadar munasabah, perkukuh pungutan hasil – Senator

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menimbang memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan kadar yang munasabah bagi meluaskan pendapatan yang mampan dan komprehensif.

Langkah ini  sekali gus akan dapat mengukuhkan pungutan hasil negara, kata Senator Tan Sri Low Kian Chuan, yang juga merupakan Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Negara, disini, hari ini.

“ACCCIM menyokong sepenuhnya pengenalan semula GST. Kami mencadangkan penambahbaikan sistem bayaran balik dan penentuan nilai ambang tahunan ditetapkan pada paras munasabah.

‘’(Sebagai contoh) Katakan…RM1 juta dengan pendaftaran secara suka rela untuk memastikan perniagaan terutama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bebas GST,’’ jelasnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak memperkenalkan kembali cukai GST buat masa ini dan yakin hasil yang bakal dikutip dan penguatkuasaan kutipan yang cekap mampu menambah pendapatan negara.

Ini memandangkan pendapatan rakyat yang masih rendah berbanding negara lain yang mengguna pakai sistem GST seperti Singapura dan Kanada, katanya.

Sementara itu Low juga menyarankan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang dicadangkan merangkumi aspek kawalan liabiliti luar jangka yang ditanggung kerajaan.

Ini, katanya, bagi memastikan penyata kewangan kerajaan persekutuan berasaskan perakaunan terakru  (accrue accounting) dan dapat memberi gambaran holistik serta tepat berasaskan kedudukan kewangan semasa negara. — BERNAMA

Loading...
Terkini