Oleh: Afrina Romzi
PETALING JAYA: Perjanjian langganan saham (SSA) antara semua pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dalam Digital Nasional Bhd (DNB) dijangka dimuktamadkan minggu depan.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil telah memaklumkan tentang perkara ini kepada ketua pegawai eksekutif (CEO) MNO terlibat.
“Jadi KSU Datuk Fauzi bersama Datuk Johan Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang mengetuai pasukan petugas 5G yang akan menyelia aspek-aspek terakhir sebelum perjanjian dimeterai membabitkan kesemua MNO,” katanya selepas melancarkan Malaysia Digital Expo (MDX) 2023 hari ini.
Tambah beliau, pengumuman CEO DNB baharu dijangka diumumkan menjelang sekitar tarikh perjanjian SSA dimuktamad. Pengisian jawatan itu tidak diumumkan sejak Mac, selepas penamatan kontrak dua tahun Augustus Ralph Marshall.
Pada pelancaran Ericsson Imagine Live Malaysia 2023 hari ini, beliau berkata semua MNO terlibat dalam perjanjian SSA akan memegang saham sama rata.
Pada Julai lalu Fahmi mengumumkan semua MNO iaitu CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM), U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd akan memuktamadkan proses pemegangan saham dalam DNB.
Tahun lalu semasa Malaysia menggunakan Model Rangkaian Borong Tunggal (SWN), empat MNO (sebelum penggabungan CelcomDigi) memeterai SSA dengan DNB yang memegang 35 peratus saham. Manakala Celcom Axiata Bhd dan Digi Telecommunications Sdn Bhd masing-masing memegang 12.5 peratus, TM dan YTL Communications masing-masing memegang 20 peratus.
Bagaimanapun berikutan peralihan ke Model Dwirangkaian 5G pada 2024, CelcomDigi dan TM telah menamatkan SSA dengan DNB pada Mei.